Selasa, 12 Januari 2016

Lapan Kanak-Kanak Malaysia Terjebak IS

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Cawangan Khas Bukit Aman hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak Malaysia direkrut dan dilatih menjadi anggota kumpulan militan IS atau pengganas Daesh di beberapa kem di Syria dan Iraq.

Pengarahnya Datuk Seri Mohamad Fuzi Mohd Harun berkata walaupun pihaknya tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung perkara itu, tetapi hasil siasatan polis menunjukkan kanak-kanak itu sedang dilatih di kem-kem berkenaan.

"Kanak-kanak ini akan ditempatkan di pusat kanak-kanak IS untuk dibentuk dan dilatih menjadi pejuang IS.


"Mereka dibawa masuk ke negara-negara yang dilanda perang oleh kedua-dua ibu bapa yang menyertai IS," katanya yang enggan menyatakan jantina dan umur kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Bukit Aman di sini, hari ini.

Susulan itu, Mohamad Fuzi berkata statistik terkini penglibatan warga Malaysia dalam kegiatan militan IS di Syria dan Iraq ialah seramai 47 individu.

Daripada jumlah itu, seramai 12 orang adalah wanita, lapan kanak-kanak dan selebihnya lelaki.

"Daripada jumlah itu juga, seramai 17 individu dilaporkan telah meninggal dunia akibat tindakan mereka terlibat dalam pengeboman berani mati. Ada juga anggota kumpulan itu yang kembali ke Malaysia dan telah didakwa di mahkamah," katanya.


Mohamad Fuzi berkata Polis DiRaja Malaysia sentiasa memantau kegiatan mereka sekembalinya di negara ini kerana dikhuatiri menyebarkan fahaman ekstremis itu.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...