Selasa, 12 Januari 2016

Polis Siasat Kemungkinan Individu Lain Terlibat Militan Daesh Di Kedah

ALOR SETAR, 12 Jan (Bernama) -- Polis Kedah akan menjalankan siasatan lanjut bagi membongkar kemungkinan terdapat individu lain yang terlibat dengan suspek remaja 16 tahun yang ditahan dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Daesh semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata mengikut siasatan awal, remaja tersebut dipercayai bertindak sendirian dan ingin menonjolkan diri sebagai penyokong perjuangan Daesh di Kedah.

Dalam kenyataan di sini beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan dari setiap sudut bagi mengesan kemungkinan terdapat orang lain yang terlibat dengan suspek menjadi penyokong fahaman dan perjuangan Daesh di Kedah.


Jelas Zambri antara barang yang turut dirampas ketika remaja berasal dari Sungai Layar, Sungai Petani itu ditahan ialah sebilah pisau sayur, sepucuk pistol mainan berwarna hitam, kain penutup muka dengan logo IS serta dokumen kumpulan militan itu.

Pagi tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata remaja tersebut ditahan di sebuah pasar raya di Sungai Petani, Kedah kerana disyaki terlibat dalam kumpulan militan Daesh.

Semalam, remaja berkenaan ditahan kira-kira 8.20 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kedah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012 dan kini dihantar ke Cawangan Khas Bukit Aman untuk siasatan lanjut.


Khalid berkata polis bertindak menahan remaja berkenaan yang berpakaian serba hitam dengan mukanya ditutup "ala-ala IS" selepas dia didapati cuba menakut-nakutkan seorang wanita dengan memegang pisau di pasar raya berkenaan.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...