Khamis, 20 Jun 2013

NKRA : PERKASA STRATEGI CEGAH JENAYAH JALANAN


KUALA LUMPUR, 19 Jun – “Saya harus turun padang untuk mendengar secara langsung daripada Ketua Polis Daerah dan Pegawai-Pegawai bawahan di sini tentang keadaan jenayah jalanan selain dari segi aspek bantuan-bantuan yang diperlukan mereka bagi melaksanakan tugas dengan lebih berkesan”, ujar Dato’Wira Ayub bin Haji Yaakob, Pengerusi Urus Setia NKRA dalam satu lawatan kerja rasmi beliau di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Lawatan Pengerusi Urus Setia NKRA turut membawa kepada perbincangan mengenai pendekatan-pendekatan baru menangani jenayah jalanan seperti ragut, rompakan bank dan curi kenderaan yang ketara terutamanya di sekitar Lembah Klang. 

“Melihat keberkesanan program ini, kami akan mengumpul sumber-sumber maklumat melalui laporan polis, media sosial, media elektronik, panggilan telefon, surat-surat dan sebagainya daripada masyarakat bagi menyusun rapi bagi tindakan penanganan isu yang dihadapi”, tambah Pengerusi Urus Setia NKRA di dalam taklimat.

Turut hadir Zainuddin Ahmad, Ketua Polis Dang Wangi, Ramli bin Mohamed Yoosuf, Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Pegawai Kanan Polis dan Rakan Media.

PENGAWAL PERIBADI TEMBAK MATI PENYAMUN WARGA ASING



Klang, 19 Jun - Seorang lelaki warga asing mati ditembak oleh seorang pengawal peribadi dalam kejadian cubaan samun ke atas seorang pengurus kilang di dalam kereta di hadapan sebuah bank di Jalan Kapar, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, pengawal peribadi yang duduk di sebelah pemandu melepaskan dua das tembakan ke arah suspek ketika lelaki itu cuba memecahkan cermin kenderaan sebelah kiri penumpang belakang yang dinaiki majikannya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata empat lagi rakan suspek yang menaiki dua buah kereta sempat melarikan diri selepas cubaan mereka untuk menyamun wang tunai bernilai RM50,000 dari mangsa gagal.

Beliau berkata siasatan awal mendapat kumpulan penyamun itu menaiki dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira dan mengekori kenderaan mangsa yang baru mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank berhampiran.

AWAS SCAM ALERT !!!!


Anda dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai apa-apa email yang menyatakan anda sebagai pewaris harta kepada seseorang yang tidak dikenali. Anda mungkin salah seorang daripada mangsa seterusnya.

Antara modus operandi yang dikenalpasti digunakan oleh sindiket:

1. Sindiket akan memaklumkan kepada mangsa bahawa anda telah dikesan sebagai pewaris untuk menerima harta pusaka peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia. 

2. Harta tersebut biasanya berada di luar negara. Beberapa dokumen sokongan dari jabatan kerajaan tertentu, badan kehakiman, mahkamah, Bank Negara Malaysia dan sebagainya disertakan untuk menyakinkan mangsa. 

3. Mangsa sama ada rakyat Malaysia sendiri atau luar negara yang kononnya datuk/moyang mereka pernah sewaktu ketika dulu berada di Malaysia dan merupakan hartawan yang tidak mempunyai waris selepas kematiannya. 

4. Dalam kes-kes seumpama ini, suspek akan mengenakan bayaran untuk menguruskan perpindahan wang tersebut kepada mangsa. 

5. Mangsa berasa tertipu apabila mendapati harta yang dijanjikan tidak diperolehi dan individu yang berperanan sebagai orang tengah menghilangkan diri.

Rabu, 19 Jun 2013

RESTORAN 24 JAM DISARAN UPAH PENGAWAL KESELAMATAN, PASANG CCTV


Kuala Lumpur, 18 Jun - Restoran yang beroperasi 24 jam disaran mengupah pengawal keselamatan sebagai langkah mengelak kejadian samun berkumpulan.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan mereka juga dilihat inisiatif penting dalam mengesan aktiviti jenayah.

"Polis tidak boleh berkawal di sesuatu tempat itu dalam tempoh yang lama, banyak lagi tugasan penting yang perlu dilaksanakan selain hanya memantau atau memfokuskan kepada lokasi yang sama," katanya kepada Bernama.

Ramli bagaimanapun berkata polis sememangnya melakukan rondaan berkala bagi mengekang sebarang perlakuan jenayah. 

POLIS CARI SUSPEK KES BUNUH


Kuala Lumpur, 18 Jun - Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian bunuh di Jalan 1/77B, Off Jalan Imbi pada pagi Ahad lepas agar tampil memberi maklumat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata pihaknya juga sedang mencari suspek kes bunuh itu yang dipercayai berusia lingkungan 50-an, tinggi lebih kurang 5 kaki 5 inci, berbadan kurus, berambut pendek dan pada masa kejadian memakai kemeja-T berwarna krim dan berseluar panjang gelap.

Polis juga sedang mencari seorang lelaki Cina seperti tertera dalam gambar, dipercayai dapat membantu polis menjalankan siasatan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat ASP Kamarul Rizal di talian 016-3660454 atau talian pejabat 03-26002222.

Pada Ahad lepas, seorang lelaki Cina berusia 54 tahun maut setelah ditikam dengan objek tajam di rusuk sebelah kiri dalam kejadian di Jalan 1/77B, Off Jalan Imbi pada 10.50 pagi.

Menurut saksi, sebelum kejadian mangsa bergaduh dengan seorang lelaki dan suspek itu memegang senjata yang dibalut dengan kertas surat khabar sebelum beredar.

Mangsa kemudiannya masuk ke dalam kereta sebelum dijumpai mati, katanya. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...