Khamis, 22 Mei 2014

TEMPOH 5 MINIT - RM165,000 DILARIKAN 4 SUSPEK


BESUT - Sekumpulan empat penjenayah bertopeng mengambil masa hanya lima minit untuk melarikan wang tunai RM165,000 selepas bertindak menarik keluar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank dekat bandar Jertih di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5.45 pagi hingga jam 6 pagi sebelum disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas meronda di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pengawal keselamatan terbabit mendapati sebuah mesin ATM berada di atas jalan depan bank tersebut, manakala pintu cermin ruang mesin ATM itu pecah berselerak.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (cctv) mendapati, empat suspek menggunakan kereta Proton Waja dipercayai untuk menarik dan memecahkan mesin ATM itu sebelum melarikan wang tunai yang ada,” katanya.

TAHNIAH - SAZALI DIJULANG ATLET TERBAIK MALAYSIA


JAGOAN bina badan, Sazali Samad dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2013 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara malam tadi.

Sazali dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas kejayaannya meraih gelaran Mr. Universe untuk tahun kelima berturut-turut di Hungary pada November tahun lalu.

Ia merupakan anugerah Olahragawan Kebangsaan kali ketiga yang disandang Sazali selepas edisi 2000 dan 2006.

Lebih menarik, Sazali mengetepikan penerima Olahragawan Kebangsaan 2011 dan 2012 yang juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Walaupun saya sudah dapat dua kali tetapi hendak menang bukan mudah kerana nak lawan dengan pencapaian yang dilakukan Chong Wei juga bukan mudah.

Rabu, 21 Mei 2014

TAHNIAH : ACP Wan Abdul Aziz kini Ketua Siasatan Jenayah Terengganu


KUALA TERENGGANU 16 Mei - Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, 56, dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner K. Manoharan yang akan mengambil alih jawatan yang dipegangnya di Bukit Aman.

Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Tahir Kassim bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan jawatan sama.

Tempat Md. Tahir kini diambil alih oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis,Supritendan, Fajarudin Agos.

Upacara penyerahan dan penerimaan tugas antara keempat-empat pegawai yang diadakan di IPK di sini turut disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Md. Jamil.

Selasa, 20 Mei 2014

10 SUSPEK KES SERANG , BUNUH DIBURU


Polis memburu 10 suspek kes serangan di Taman Sentosa pada Selasa lalu yang mengakibatkan seorang maut, manakala dua lagi cedera parah.

Dalam insiden tersebut, seorang pemandu lori yang menghadiri upacara memperingati kematian bapa saudaranya mati ditikam serta ditembak dua das oleh sekumpulan penyerang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek diburu adalah penjenayah berbahaya dan dipercayai masih berada dalam negara.

Sesiapa yang ada maklumat berhubung suspek diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33712222 bagi membantu siasatan.

HATI-HATI: PENIPUAN MENGGUNAKAN PARCEL (BUNGKUSAN)


SCAM ALERT: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran oleh mana-mana individu yang hanya dikenali melalui media sosial untuk menerima bungkusan/parcel yang kononnya sebagai tanda persahabatan.

Orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak berwajib (kastam atau syarikat kurier) dengan menghubungi nombor yang sahih bagi mendapatkan kepastian sama ada wujud atau tidak bungkusan/parcel seperti yang dimaksudkan. Sindiket penipuan yang memperdaya mangsa untuk mengeluarkan sejumlah wang yang didakwa bagi tujuan pembayaran kos bungkusan/parcel yang dikirim menggunakan taktik seperti berikut:

1. Mangsa berkenalan dengan sindiket melalui laman web sosial yang kononnya berasal dari negara-negara di United Kingdom. Mangsa kebanyakannya adalah wanita pelbagai bangsa yang bersendirian/kesepian.
2. Sebagai tanda persahabatan, sindiket akan menghantar bungkusan hadiah kononnya mengandungi barang kemas dan wang tunai kepada mangsa.
3. Mangsa kemudiannya dihubungi seseorang yang mengaku sebagai pegawai kastam di lapangan terbang atau syarikat kurier, mengatakan barang yang dihantar telah sampai dan ditahan kerana tidak membayar cukai, insurans atau wang tunai tidak diisytihar.
4. Mangsa diyakinkan pula dengan panggilan telefon oleh orang tempatan kononnya bungkusan/parcel tersebut telah sampai di Malaysia dan perlu membuat bayaran ‘clearance’.
5. Pembayaran perlu dibuat kepada sindiket melalui nombor akaun yang tertentu. Mangsa hanya sedar tertipu apabila barang yang dihantar tidak diterima.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...