Selasa, 29 Mac 2011

Aspirasi Komuniti Bandar Kinrara 2 Sempena Majlis Peringatan Hari Polis ke-204 Tahun

Bandar Kinrara , 25 Mac 2011 - "Saya sangat terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh Komuniti Bandar Kinrara 2 kepada pihak polis sempena penganjuran Majlis Peringatan Hari Polis Ke-204 Tahun ini," ujar YDH Supt. Abd. Razak bin Elias, Ketua Polis Daerah Serdang hari ini.
Beliau amat menghargai usaha dan inisiatif masyarakat itu sendiri (Komuniti Bandar Kinrara 2) yang menganjurkan majlis Peringatan Hari Polis ini untuk warga polis IPD Serdang.

Menurutnya lagi, masyarakat di sini benar-benar menjalinkan suatu ikatan yang rapat dalam merealisasikan kepolisan masyarakat di mana mereka meronda kawasan di BK2 di bawah Skim Ronda Sukarela (SRS) dan meronda bersama polis di kawasan perumahan mereka.
Kerjasama ini bagi menentukan kawasan penempatan mereka dapat dikawal daripada kegiatan jenayah, ditambah juga kawasannya yang berpagar serta berpengawal dan ini menunjukkan pendekatan kepolisan masyarakat amat berkesan.
Beliau juga menggalakkan pengukuhan semangat kejiranan sebagai benteng dan jaringan kawalan yang holistik di samping menekankan aspek-aspek Skim Ronda Sukarela (SRS) dan polis di mana kerjasama pintar boleh menepati objektif seperti:
- Membantu mencegah jenayah dan menangani gejala sosial.
- Membantu menguatkuasakan undang-undang.
- Membantu perlindungan kepada nyawa dan harta benda.
- Mempertingkatkan semangat kejiranan di kalangan penduduk setempat.
- Memastikan keadaan setempat agar menjadi aman dan sejahtera.
Beliau menambah, Skim Rondaan Sukarela (SRS) ini menunjukkan penglibatan masyarakat secara sukarela dan bekerjasama dengan pihak polis dalam menentukan keselamatan setempat daripada ancaman jenayah yang menjadi kepentingan bersama.
"Kekuatan kepolisan masyarakat menjadi jelas dengan penyatuan kerjasama yang berterusan antara pihak polis dengan masyarakat dan kejadian jenayah di kawasan ini adalah terkawal atas usaha sukarelawan daripada penduduk kawasan ini," ujarnya mengakhiri ucapannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...