Selasa, 29 Mac 2011

Kadar Jenayah Menurun Dalam Tempoh Empat Tahun Di Bawah NKRA

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Kadar jenayah di seluruh negara buat kali pertamanya menyaksikan penurunan dalam tempoh empat tahun sebanyak 35 peratus (13,193 kes) jenayah jalanan dan 15 peratus (32,297 kes) jenayah indeks di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah.

Hasil Petunjuk Prestasi Utama Negara 2010 menyaksikan penurunan jenayah indeks sebanyak 32,297 kes kepada 177,520 kes manakala jenayah jalanan sebanyak 13,193 kes kepada 24,837 kes berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peratusan itu melebihi sasaran yang telah ditetapkan iaitu pengurangan lima peratus bagi jenayah indeks dan 20 peratus jenayah jalanan.

"Berdasarkan NKRA itu juga, sebanyak 2,001 kes jenayah kekerasan tambahan yang tertunggak telah diselesaikan dan 5,222 kes jenayah kekerasan dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Pencapaian itu merupakan hasil pelaksanaan 12 inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi jenayah di seluruh negara.

Antara inisiatif itu ialah melibatan operasi pada peringkat nasional seperti Operasi Lejang (sasaran kepada kecurian motosikal), Operasi Rentap (sasaran kepada curi ragut dan rompakan tepi jalan) dan Oprasi Pintu (sasaran kepada pecah rumah).

"Operasi-operasi ini yang dijalankan pada peringkat nasional, melibatkan 6,000 rampasan dan tangkapan pada 2010," katanya.

Hishammuddin berkata penggunaan kaedah pengawasan dan umpan di kawasan cenderung jenayah merupakan faktor penting yang membawa kejayaan operasi pada peringkat nasional.

"Misalnya dalam penangkapan pencuri motosikal, umpan motosikal ditempatkan di lokasi cenderung jenayah berserta pegawai polis yang memantau dari jarak agak jauh. Sekiranya perlu kamera litar tertutup (CCTV) juga turut digunakan dalam operasi itu untuk membawa bahan bukti tambahan semasa pendakwaan," katanya.

Sementara itu, kerajaan telah menambah pemasangan sebanyak 496 CCTV di 50 kawasan panas di seluruh negara bagi membantu pegawai penguatkuasa melakukan kegiatan pemantauan dan pengawasan dengan lebih efektif selain membolehkan penugasan polis peronda yang lebih efisien.

Selain itu, sebanyak 5,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang terpilih menghadiri latihan asas kepolisan selama dua minggu di pusat latihan RELA/JPAM, kemudian mereka diserapkan sebagai anggota sukarelawan polis (PVR).

"Tenaga kerja tambahan itu yang membantu pasukan polis dalam menjalankan tugas rondaan, dapat memperlihatkan kehadiran yang berkesan dalam mencegah jenayah dan menerapkan kepercayaan awam kepada pasukan polis," katanya.

Antara langkah lain termasuk meningkatkan jumlah dan kecekapan Pegawai Penyiasat (IO), mengurangkan nisbah IO kepada kertas siasatan kepada 1:5 sebulan, mendapatkan IO dari jabatan lain, menggunakan prosedur operasi standard untuk kes-kes jenayah kekerasan dan mempertingkatkan kerjasama antara PDRM dengan Jabatan Peguam Negara semasa penyiasatan dijalankan.

Hishammuddin berkata meskipun insiden jenayah telah berkurangan, usaha untuk meyakinkan rakyat bahawa keadaan di bandar dan jalanan lebih selamat masih merupakan cabaran apabila persepsi umum masyarakat sukar diubah berikutan insiden jenayah sudah sebati dalam fikiran mereka.

"Pelbagai faktor luaran termasuk penerbitan berterusan kes berprofil tinggi di media massa, kepopularan kes jenayah sebagai topik perbualan di antara jiran tetangga, rakan-rakan dan penampilan jenayah di dalam blog," katanya.

Sehubungan itu, kerajaan pada masa ini sentiasa mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah persepsi dengan melibatkan media, meningkatkan keprihatinan orang awam dan kehadiran penguatkuasa undang-undang serta kegiatan pendekatan awam.

"Mulai tahun ini, anggota polis tambahan akan ditugaskan untuk tujuan rondaan sama ada menggunakan kereta peronda, motosikal atau berjalan kaki bagi membantu mencegah insiden jenayah.

"Ini akan dicapai bergantung kepada kedua-dua tenaga kerja sedia ada dan yang akan direkrut serta latihan anggota baru," katanya.

Pada tahun ini, kerajaan telah menetapkan penurunan kadar jenayah dengan melibatkan lima peratus penurunan jenayah indeks berbanding 2010, 40 peratus pengurangan jenayah jalanan berbanding 'garis dasar' 2009, 50 peratus responden 'Rasa Takut Menjadi Mangsa Jenayah', 20 peratus kertas siasatan (IP) dibuka dibawa ke muka pengadilan dan 60 peratus responsen 'Puas hati terhadap perkhidmatan PDRM'.

Berdasarkan kepada kejayaan yang dicapai pada tahun lepas, serta pengajaran yang diperolehi, Kementerian Dalam Negeri akan memperluaskan skop pengurangan jenayah jalanan yang termasuk pecah rumah, kecurian jentera berat dan jenayah berprofil tinggi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...