Selasa, 29 Mac 2011

Tiga Lelaki Ditahan Berkaitan Kes Samun

SERDANG, 28 Mac (Bernama) -- Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar negeri ini diberkas dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Pusat Bandar Puchong, dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata ketiga-tiga lelaki yang masing-masing berusia 47, 31 dan 22 tahun itu, ditahan di rumah mereka pada pukul 4.20 petang.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga kereta mewah yang dicuri kumpulan itu dan beberapa barangan lain termasuk 17 nombor plat kereta yang dipercayai palsu dan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ecstasy, ketamin dan ganja yang dianggar seberat 15 gram.
"Dadah yang dirampas itu dipercayai untuk kegunaan sendiri, ekoran nilainya yang kecil dan kesemua suspek didapati positif dalam saringan ujian air kencing," katanya kepada pemberita di sini hari Isnin.

Tun Hisan berkata orang ramai yang mengeluarkan wang dari bank merupakan sasaran utama kumpulan itu sebagai mangsa samun.

"Suspek juga tidak teragak-agak menggunakan senjata seperti parang dalam melakukan samun dan selain wang, suspek turut menyamun kereta mangsa," katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas sehingga kini, sebanyak 53 laporan dengan kerugian lebih RM2 juta diterima polis membabitkan kes samun yang menggunakan modus operandi yang sama di negeri itu.

"Pasukan kami juga sedang giat menjejaki kumpulan-kumpulan lain yang melakukan samun dengan menggunakan modus operandi yang sama dan siasatan turut dibuat sama ada terdapat kaitan antara tiga lelaki yang telah ditahan itu dengan kumpulan-kumpulan terbabit.

"Kami juga percaya kumpulan-kumpulan ini tidak hanya bertumpu di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor berdasarkan pada laporan yang diterima," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...