Selasa, 29 Mac 2011

Mangsa samun rugi RM4,000

KUALA DONG – Empat sekeluarga diikat menggunakan wayar dalam satu kes pecah rumah pada jam lebih kurang 4.30 pagi semalam di Kampung Kuala Dong. 

Ketua Polis Daerah, Superin-tendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, berdasarkan maklumat, rumah mangsa dipecah masuk empat suspek warga asing yang melarikan rantai leher, cincin, wang tunai dan tiga telefon bimbit sehingga mengakibatkan mangsa kerugian sebanyak RM4,000. 

Menurutnya, selepas mangsa diikat dan barangan berharga diambil, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta menerusi Jalan Lipis ke Sega. 

“Siasatan mendapati suspek bertindak memasuki rumah mangsa daripada tingkap nako di bahagian belakang rumah. 
“Keempat-empat mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan pula diikat menggunakan wayar,” katanya ketika ditemui di sini. 

Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa kemudiannya berjaya melepaskan diri dan keluar dari bilik lalu menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. 

Katanya, kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara serta denda. 

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini menerusi talian kilat polis Raub 09-3554999 atau datang sendiri ke balai polis berhampiran. 

“Pada masa sama, kita harap supaya masyarakat setempat meningkatkan tahap keselamatan rumah masing-masing. 

"Di samping itu, kawalan secara berkala turut diadakan unit peronda polis Raub,” kata Wan Mohd Samsudin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...