Khamis, 10 Mac 2011

Belasah pelajar: MB harap pelajar nakal tidak dibuang

KANGAR 9 Mac - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berharap empat pelajar nakal yang dikaitkan dengan kes membelasah seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Simpang Empat sehingga patah tangan kirinya tidak disingkirkan daripada sekolah.

Katanya, mereka sewajarnya diberi peluang untuk terus belajar dengan dipindahkan ke sekolah lain dan diberi pemulihan supaya mereka menyedari kesalahan itu.

"Mereka harus diberi peluang membaiki kesilapan demi masa depan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Mohamad Shahfaly Anoar, 15, yang patah tangan kirinya akibat dibelasah sekumpulan pelajar di Kampung Simpang Empat Syed Kassim dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 4 Mac lalu, mangsa dikatakan dipukul oleh sekumpulan pelajar tingkatan tiga dan dua sekolah yang sama di kawasan sekolah dan kes itu yang telah dilaporkan kepada polis turut mendapat reaksi nasional.

"Jika pelajar-pelajar itu tidak diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan, saya khuatir pelbagai perkara tidak baik akan terjadi kepada mereka,” kata Md Isa.


Menurut beliau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis perlu menyiasat lebih terperinci kejadian itu dan mengambil tindakan yang tidak merugikan masa depan para pelajar yang disabitkan dengan kes itu.

Beliau menyifatkan kes itu haya sebagai kenakalan remaja dan kejadian itu berlaku di luar kawalan guru.

"Saya amat berharap kejadian seumpama itu tidak akan berlaku lagi dan jika pelajar itu tidak dikawal dan dibentuk dengan baik, ia akan mengundang gejala yang negatif kepada institusi pendidikan kita,” kata Md Isa yang juga bekas seorang guru. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...