Khamis, 10 Mac 2011

Pengarah rugi RM50,000

PETALING JAYA – Seorang pengarah syarikat kimia, Liau Cheng Kiat kerugian RM50,000 apabila bahan kimia dipesannya menerusi Internet hanya air semata-mata. 

Cheng Kiat berkata, perkara itu hanya disedari setelah pemeriksaan teliti dibuat menerusi ITS Testing Services (M) Sdn Bhd yang mendapati kandungan bahan diterimanya daripada syarikat pengedar bahan tersebut yang berpangkalan di China adalah 99.7% air. 

Menurutnya, hingga kini beliau masih tidak mendapat sebarang pembelaan meskipun aduan mengenainya sudah dibuat di Kedutaan Republik China di Kuala Lumpur. 
“Saya telah hubungi pengedar itu dan dan dia sudah serahkan laporan yang dibuat pada 7 Februari lalu. Syarikat itu berjanji akan menyelesaikan masalah ini selepas Tahun Baru Cina, namun hingga kini tiada khabar berita mengenainya,” katanya. 

Katanya, perkara itu kemudiannya diadukan kepada Biro Aduan MCA. 

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan MCA, Datuk Theng Book pada sidang medianya berkata, beliau berharap Kedutaan China dapat mengambil tindakan segera berhubung aduan berkenaan. 

“Kedutaan China sepatutnya mengarahkan pasukan polis mereka menyiasat perkara tersebut kerana ia jelas adalah satu penganiayaan. Masalah itu perlu menjadi tauladan supaya ianya tidak berulang kepada rakyat Malaysia. 

“Pembelian menerusi Internet ini sebenarnya merbahaya kerana kita tidak tahu kesahihan syarikat dan barangan yang hendak dihantar, justeru elakkan urusan jual beli menerusi Internet,” katanya kepada Sinar Harian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...