Khamis, 10 Mac 2011

Ops Kon bantu cegah jenayah

TAMAN PERMATA – Ops Kon yang diadakan dengan kerjasama polis dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di sini, dijangka dapat menurunkan kadar jenayah seperti pecah rumah dan lain-lain. 

Pengerusi SRS, di sini, M Salleh Kassim berkata, operasi yang diadakan secara berjadual itu mendapat kerjasama dua hala yang baik. 

Menurutnya, operasi yang diadakan turut mendidik masyarakat bertindak sebagai pengawal dan peronda di kawasan tempat tinggal masing-masing. 

“Usaha sama yang erat ini membantu menutup peluang perlakuan jenayah dan masalah sosial, bukan sahaja di kawasan ini malah di tempat lain juga. 
“Saya bangga dengan komitmen yang diberikan anggota SRS membuat rondaan atas dasar tanggungjawab terhadap keselamatan tempat tinggal masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. 

M Salleh berkata, operasi yang diadakan turut membuktikan anggota masyarakat mempunyai sikap peka dan mahu mengambil berat mengenai keselamatan diri dan kawasan kejiranan sendiri. 

“Saya berharap anggota SRS dapat memanfaatkan kerjasama dan kemudahan yang ada dalam melaksanakan tugas dengan baik, sekali gus menyediakan persekitaran yang selamat dan aman kepada penduduk. 

“Kerjasama yang ditunjukkan anggota SRS di kawasan ini amat membanggakan dan ia seharusnya diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan misi untuk mengekalkan keselamatan dan keharmonian di kawasan ini tercapai,” katanya. 

Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan kerjasama yang diberikan semua penduduk dan berharap lebih banyak aktiviti dapat dijalankan pada masa akan datang serta mendapat kerjasama seperti itu. 

“Kerjasama yang ditunjukkan masyarakat amat membanggakan di mana masing-masing memainkan peranan dengan baik bagi memastikan usaha berjalan seperti yang dirancang. 

“Permuafakatan yang ditunjukkan melambangkan kerjasama yang erat di antara penduduk di sini dan ia seharusnya diteruskan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bekerjasama,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...