Khamis, 10 Mac 2011

Taktik beli kad pra-bayar sebelum menyamun

SEREMBAN – Seorang penjenayah berpura-pura untuk membeli kad pra-bayar telefon bimbit sebelum menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Oakland, dekat sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, hanya terdapat dua petugas di dalam kedai berkenaan. 

Juruwang yang enggan namanya disiarkan berkata, seorang lelaki bertopi keledar dan berbaju hitam masuk ke dalam kedai tersebut ketika pelanggan tiada. 

Katanya, lelaki berusia lingkungan 40-an itu terus menuju ke kaunter dan meminta kad pra-bayar berharga RM10. 
“Apabila saya mahu menyerahkan kad prabayar berkenaan, lelaki tersebut tiba-tiba meletakkan sebuah beg di atas kaunter dan mengarahkan saya menyerahkan wang tunai. 

“Lelaki itu juga menunjukkan sebilah parang yang dibalut dengan kertas surat khabar dan diletakkan di sisi beg,” katanya ketika ditemui, di sini semalam. 

Menurutnya, disebabkan ketakutan, dia terus menyerahkan wang kira-kira RM300 sebelum lelaki itu mengambil beberapa kotak rokok dan pemetik api. 

“Pengurus saya yang berada di bahagian belakang premis tiba-tiba keluar menyebabkan penjenayah itu panik serta terus bergegas keluar. 

Katanya, penjenayah terbabit terus melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari premis berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...