Rabu, 29 Ogos 2012

Mayat Lelaki Dipercayai Mangsa Bunuh Ditemui Dalam Longkang Di Klang

Gambar hiasan

KLANG, 28 Ogos (Bernama) -- Mayat seorang lelaki, dipercayai mangsa bunuh, ditemui dalam keadaan kedua-dua kakinya berlipat ke bahagian belakang badan di paras pinggang dan diikat, di dalam sebuah longkang di Kilometer 14 Lebuhraya Shapadu dari Klang menuju ke Pelabuhan Utara di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara DSP Yong Fun Kun berkata mayat lelaki rakyat asing itu dipercayai berada dalam longkang berkedalaman satu meter itu sejak empat hari lepas.

"Mayat mangsa ditemui terapung dengan hanya memakai seluar dalam, berada dalam keadaan berulat dan hampir reput ketika ditemui pada pukul 3.20 petang tadi," katanya di sini Selasa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam pada dada dan kecederaan ringan pada anggota lain mayat itu.

"Kami tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh berdasarkan keadaan kakinya yang diikat dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...