Isnin, 3 September 2012

Peragut dikesan guna jalan tikus


Peragut dikesan guna jalan tikus
KULIM - Polis menemui beberapa beg tangan dan dompet ketika membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan ladang kelapa sawit di Taman Seri Pinang kira-kira jam 2 petang kelmarin, dipercayai dibuang peragut yang menggunakan jalan terbabit sebagai jalan pintas.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, peragut sering menggunakan jalan pintas untuk membolehkan mereka sukar diburu polis.

Menurutnya, suspek hanya akan mengambil duit yang ada dalam beg atau dompet diragut sebelum membuangnya ke dalam semak.

“Sehingga kini polis telah mengenal pasti laluan yang sering digunakan peragut untuk melarikan diri.

“Orang awam yang berhadapan dengan situasi itu diminta jangan cemas, tetapi harus bersikap tenang dan mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek dan cuba mengecam jenis kenderaan digunakan,” katanya.

Ghuzlan berkata, mangsa juga harus membuat laporan polis segera untuk memastikan hebahan dapat dibuat supaya suspek tidak dapat melarikan diri jauh.

Katanya, golongan wanita juga dinasihatkan supaya tidak memakai barangan kemas berharga berlebihan kerana dikhuatiri menjadi tumpuan penjenayah.

“Sehingga kini beberapa kes tetak dilaporkan berlaku apabila bergelut dengan mangsa ketika berlaku kes ragut,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...