Isnin, 3 September 2012

TNB rugi lebih RM50,000


TNB rugi lebih RM50,000
KUALA SELANGOR - Bukan satu tetapi  23 peti elektrik voltan rendah (feeder pillar) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di daerah ini dipecah masuk menyebabkan syarikat utiliti elektrik terbesar negara menanggung kerugian lebih RM50,000 sekali gus menjejaskan lebih kurang 10,000 pengguna di sini.

Hanya dalam tempoh dua minggu, peti elektrik voltan rendah di sekitar Tanjong Karang, Kuala Selangor, Jeram dan Ijok menjadi sasaran sindiket kecurian yang dipercayai dirancang secara berkumpulan memandangkan dalam satu kes, lebih dua sub stesen itu dipecah masuk dalam masa sama. 

Sinar Harian difahamkan, komponen fius menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab untuk dijual di kedai lusuh untuk mengaut keuntungan mudah tanpa menyedari tindakan mereka memberi kesan kepada pengguna.

Dalam kejadian terbaru, di Taman Ijok Utama di sini, semalam, menjadikan lokasi ketiga kejadian kecurian selepas Taman Jasa dan Kawasan Perindustrian Ijok menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab dan dipercayai melarikan berpuluh fius dan peralatan menyebabkan kilang industri terputus bekalan elektrik dan terpaksa menghentikan operasi.

Kecurian terbabit turut menyebabkan pengguna terputus bekalan elektrik sementara waktu sebelum petugas dan kontraktor TNB memasang semula fius yang dicuri selepas laporan polis dibuat kepada Cawangan Siasatan Jenayah (CSJ) TNB dan balai polis berhampiran.

Anggota polis bantuan CSJ TNB yang mempunyai kuasa untuk menangkap dan menyiasat individu yang terlibat kini giat menjalankan siasatan dan risikan di lokasi yang dikenal pasti bagi membendung kejadian kecurian ini dari terus berleluasa.

Penduduk, KT Lim berkata, akibat kejadian kecurian pada peti elektrik voltan rendah terbabit, keluarga dan penduduk lain terpaksa berpanas hampir tiga jam dan kejadian ini perlu dipantau dengan lebih efisien memandangkan kes sama berlaku di tempat lain.

“Meskipun kecurian berlaku di sub stesen yang terdedah di jalan utama, mungkin penduduk beranggapan pencuri adalah kontraktor lantikan TNB yang membuat kerja penyelenggaraan dan saya percaya perbuatan berulang kali itu dilakukan orang mahir bidang elektrikal.

“Ini kerana saya lihat kebanyakan peralatan dicuri adalah fius kotak pengagihan elektrik boleh mendatangkan maut jika mereka tidak berkemahiran,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian berhubung kecurian peti elektrik voltan rendah di Sungai Buloh-Jeram, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad ketika ketika diminta mengulas kejadian itu berkata, pihaknya mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...