Isnin, 3 September 2012

Untung jual senjatapi 5 kali ganda


“SAYA terbabit dalam kegiatan menyeludup senjata pada 2009 kerana terpengaruh dengan rakan selepas menganggotai satu kumpulan kongsi gelap. Lagipun, upah diterima memang lumayan, malah keuntungan yang kumpulan kami peroleh hampir tiga hingga lima kali ganda berbanding harga belian di negara jiran.

Sebagai contoh, pistol buatan sendiri boleh dibeli dengan harga RM300 di negara jiran dan dijual di Malaysia antara RM900 hingga RM1,500 bergantung kepada kualiti, manakala harga senjata tulen seperti dari Itali atau Jerman jauh lebih mahal dan mencecah ribuan ringgit.


Sebab itu mereka yang melakukan kerja ini boleh hidup mewah. Bayangkan jika sepucuk pistol berharga RM900, keuntungan sekurang-kurangnya tiga kali ganda.



Saya mula terjebak dalam kegiatan itu selepas mengenali beberapa orang yang menjadi ‘kepala’ dalam urusan berkenaan sebelum mengikut mereka melakukan perkara sama.


Berdasarkan pengalaman saya, senjata api perlu disorokkan di bahagian rahsia dalam kenderaan sebelum melalui pemeriksaan di sempadan dan kemudian berlagak seperti pelancong tanpa perlu risau. Jadi, pihak berkuasa tidak akan mengesyaki apa-apa.



Biasanya, jika jumlahnya sedikit dan mudah disembunyikan, kami membawa masuk pistol itu melalui jalan sah iaitu melalui pemeriksaan polis.




Bagaimanapun, kalau permintaannya banyak, kami membawa masuk mengikut ‘lorong tikus’ atau ‘jalan haram’ sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah.


Jika tahu caranya, kerja haram ini senang dilakukan. Lagipun, disebabkan permintaannya tinggi dan memberi pulangan lumayan, ramai sanggup melakukannya.



Bagaimanapun, risiko menjual barang haram ini sangat tinggi. Ketika melakukan kerja ini, selain pihak berkuasa, kami juga berdepan risiko dicari anggota kongsi gelap lain. Jadi, jangan sesekali cuba melakukan kerja ini.


Malah, saya dan rakan juga menerima pengajarannya apabila ditangkap kerana menjual pistol di Lembah Klang. Kini, saya tidak lagi melakukan kerja haram terbabit. Cukuplah dengan pengalaman yang ada. Tidak mungkin saya akan melakukannya lagi memandangkan hukuman diterima sungguh berat.”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...