Jumaat, 5 Oktober 2012

Diserang lelaki berparang, kerugian RM3,490

Diserang lelaki berparang, kerugian RM3,490
Vicknesh menunjukkan kecederaan yang dialaminya ketika melarikan diri daripada penyamun bersenjatakan parang di Jalan Legong Jaya, semalam.
TAMPIN – Seorang kelindan lori berdepan detik cemas apabila dikejar sejauh kira-kira 100 meter oleh penyamun bersenjatakan parang yang mahu merampas beg pinggang berisi wang tunai kira-kira RM3,490, di Jalan Legong Jaya, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, K Vicknesh, 23, bersama seorang lagi pemandu lori, baru sahaja membeli getah beku di kawasan berkenaan sebelum lori mereka dihampiri kereta jenis Proton Waja berwarna perak.

Menurutnya, sebaik sahaja kereta jenis Proton Waja berkenaan berhenti, dua lelaki bersenjatakan parang panjang turun dari kereta dan dia yang terkejut serta merta bertindak melarikan diri.

“Saya sangka tindakan saya melarikan diri akan berjaya menyelamatkan diri saya daripada menjadi mangsa samun kali kedua di lokasi sama kira-kira lima atau enam bulan lalu, namun saya tersilap apabila saya terjatuh semasa melarikan diri.

“Saya sangat cemas apabila penyamun itu menghampiri dengan mengangkat parang panjangnya ke arah saya. Saya jerit supaya mereka tidak mencederakan saya dan mereka terus merampas beg pinggang saya yang berisi wang tunai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pekan Kota, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Vicknesh berkata, kejadian kali kedua itu benar-benar membuatkan dia takut namun dia tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan pekerjaan yang dilakukannya sejak sembilan bulan lalu.

“Saya memang bergantung pendapatan melalui pekerjaan ini dan tidak menyangka kejadian kali kedua ini menyebabkan kedua-dua lutut saya cedera sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tampin susulan terjatuh semasa melarikan diri.

“Semasa insiden pertama berlaku, tiada senjata yang digunakan dan saya tidak cedera. Oleh itu, saya harap pihak berkuasa dapat membuat rondaan lebih kerap di kawasan terbabit terutamanya pada waktu pagi supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...