Jumaat, 5 Oktober 2012

Remaja cedera bergelut dengan peragut


Remaja cedera bergelut dengan peragut
Keadaan Kuan Siang yang cedera selepas pergelutan itu.
KUANTAN – Kegembiraan lima sahabat menyambut Pesta Tanglung bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka menerima lima jahitan di bahagian kening selepas bergelut dengan peragut dalam kejadian di Indera Mahkota 2, di sini, kira-kira jam 12.30 pagi, Isnin lalu.

Mangsa, Tan Kuan Siang, 18, berkata, ketika itu, dia bersama empat lagi rakannya duduk di bahagian tepi rumah salah seorang rakan untuk bermain tanglung.

“Sedang asyik kami bermain tanglung, tiba-tiba datang dua orang lelaki menaiki motosikal dan meminta kami memberikan minuman keras.

“Kami tidak melayan permintaannya kerana kami hanya mahu meraikan pesta tanglung, bukannya berhibur di tepi jalan,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Tambahnya, tiga daripada rakannya bertindak meninggalkan tempat itu kerana bimbang lelaki berkenaan mengganggu dua rakan perempuan mereka.

“Sebaik mereka meninggalkan tempat itu, datang seorang lelaki berjalan kaki ke arah saya dan seorang lagi rakan. Dia kemudiannya bertindak meragut dompet serta telefon bimbit yang berada di genggaman saya.

“Tidak puas hati dengan tindakan itu, saya mengejarnya dengan motosikal sementara seorang lagi rakan saya mengekori dari belakang,” katanya.

Kuan Siang berkata, ketika itu berlaku pergelutan antara dia dan peragut itu menyebabkan dia terjatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan di bahagian kening, tangan dan kaki.

“Ketika itu, saya tidak fikir tentang keselamatan diri. Saya hanya mahu mendapatkan dompet serta telefon bimbit saya.

“Saya juga tidak sedar peragut itu memiliki parang kerana cermin mata saya sudah rosak akibat pergelutan itu. Rakan saya yang memberitahu peragut itu memiliki senjata,” katanya.

Menurutnya, tiga lagi rakannya datang semula ke tempat kejadian dan cuba menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan, namun gagal.

“Saya terpaksa melepaskan peragut itu setelah diugut oleh dua rakannya yang menaiki motosikal. Bimbang keselamatan kami, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 4.06 pagi,” katanya.

Empat lagi rakan sebaya yang terlibat ialah Lai Yong Sheng, Chow On Wah, Low Huey Lin, dan Sharen Chang Zhisun.

Turut hadir melawat keadaan mangsa semalam, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...