Jumaat, 5 Oktober 2012

Pencuri tong gas di rantau panjang berleluasa ???


RANTAU PANJANG – Empat peniaga gas di Banggol Kulim di sini, berdepan kerugian apabila tong diletakkan di hadapan premis perniagaan masing-masing dicuri dalam kejadian awal pagi, kelmarin.

Suspek dikatakan mengambil kesempatan ketika mangsa tidur untuk menjalankan operasi 'mengutip' tong gas di keempat-empat premis  terletak tidak jauh antara satu sama lain.

Sinar Harian difahamkan, kecurian tong di premis perniagaan di sekitar kawasan ini tidak pernah berlaku.

Seorang mangsa dikenali sebagai Kak Yah, 43, berkata, dia hanya menyedari tong gas diletakkan di hadapan kedainya lesap sebaik hendak memulakan perniagaan pada pagi berkenaan.

Kak Yah berkata, dia dan keluarga tidur di tingkat atas premis perniagaannya dan langsung tidak menyedari kehadiran pencuri berkenaan.

Menurutnya, dia tidak menyangka pencuri berani mengambil tong gas itu walau lampu di hadapan kedainya dipasang.

“Pada hari kejadian, keadaan di hadapan kedai cerah memandangkan lampu terpasang. Kesemua tong yang diletakkan di hadapan kedai pula dirantai dan dikunci,” katanya tengah hari semalam.

Menurutnya, sebelum ini bateri lori serta peralatan lain miliknya kerap dicuri.

“Kes curi di sini bukan yang pertama kalinya, sudah terlalu kerap barangan saya dicuri. Kecurian melibatkan tong gas pula baru pertama kali berlaku,” katanya.

Sementara itu, jiran enggan dikenali berkata, sekitar jam 2 pagi dia terdengar bunyi bising seperti orang sedang mengheret tong gas.

Menurutnya, dia yang berada di tingkat atas rumah berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada isterinya sebelum menjenguk melalui tingkap.

“Sebaik keluar, saya lihat sebuah kereta bergerak meninggalkan pekarangan kedai. Keesokan pagi jiran memberitahu tong gas diletakkan di hadapan kedainya hilang,” katanya.

Dia berkata, kejadian begitu pantas dan tidak sempat mengecam jenis kereta dan nombor pendaftarannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...