Gambar hiasan |
KOTA BAHARU: Polis menembak mati dua anggota kumpulan samun bersenjata selepas mereka 'menculik' seorang kerani syarikat kewangan yang membawa wang tunai RM50,000, di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, dekat sini pada Ahad.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian berbalas tembak itu, dua lagi rakan penjenayah tersebut berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran tempat kejadian.
Beliau berkata kejadian tersebut berlaku antara pukul 12 dan 1 tengah hari selepas kerani lelaki berusia 23 tahun itu baru mengeluarkan wang tunai RM50,000 dari sebuah bank di bandar Kuala Krai.
Jalaluddin berkata empat suspek berkenaan kemudian meninggalkan kerani itu di tepi jalan sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, sebaik menerima maklumat, anggota polis berjaya mengesan kereta suspek lalu mengejar kenderaan itu.
"Ketika polis cuba menahan kereta itu, suspek melepaskan empat das tembakan. Dalam kejadian berbalas tembak itu, dua suspek berusia 22 dan 29 tahun ditembak mati," kata Jalaluddin, sambil menambah kedua-duanya berasal dari Kuala Krai. "Kami kini giat menjalankan usaha mengesan dua lagi suspek yang melarikan diri, termasuk menggunakan unit anjing pengesan," katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati hanya RM15,200 wang yang dilarikan dapat ditemui semula manakala bakinya dipercayai dibawa lari dua rakan suspek. -BERNAMA