Isnin, 4 Februari 2013

Lelaki maut kena tetak


Lelaki maut kena tetak
ALOR SETAR - Seorang lelaki maut akibat ditetak dalam insiden pergaduhan berhampiran tanah perkuburan Hindu di Lorong Sharif, Jalan Langgar dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Najib Bakar, 37, ditemui cedera parah dengan kesan tetakan di bahagian belakang kepala, leher dan kedua belah kakinya sekitar jam 7.30 malam.

Mangsa, yang masih bujang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, selepas mendapat makluman daripada orang awam berhubung insiden anggotanya segera ke tempat kejadian.

“Pihak polis menemui seorang lelaki yang cedera parah sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian dan mangsa didapati meninggal dunia semasa dikejarkan ke hospital.

“Punca sebenar pergaduhan itu masih dalam siasatan kami dan pihak polis giat mengesan suspek kes tetak itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan semakan rekod pihaknya mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dua kes narkotik pada 2007 dan 2008 serta jenayah.

Sementara itu, ibu mangsa, Wan Mahmud, 69, berkata, dua minggu lepas merupakan kali terakhir dia berhubung dengan mangsa melalui telefon, malah tidak menyangka akan berlakunya kejadian itu kerana anak keenamnya merupakan seorang anak yang baik.

Dalam pada itu, Naib Ketua Bahagian Umno Kuala Kedah, Datuk Abdul Mutalib Harun melawat keluarga mangsa di Rumah Pangsa Tongkang Yard, di sini, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...