Khamis, 28 Ogos 2014

Polis akan ambil tindakan terhadap PPS


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) berikutan penubuhan pasukan itu tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah menerima makluman rasmi daripada pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa PPS tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

"Sehubungan itu, PDRM menganggap PPS adalah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966.


"PDRM akan menjalankan siasatan ke atas aktiviti pasukan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) mendesak kerajaan Pulau Pinang memperjelaskan status sebenar penubuhan PPS yang dianggotai kira-kira 10,000 orang dan diberi elaun sebanyak RM10,000 serta semua kelengkapan bagi menjalankan tugas-tugas keselamatan.

Perkara tersebut mendatangkan kebimbangan berikutan pihak ROS pernah memaklumkan pertubuhan itu tidak berdaftar dan dianggap pertubuhan haram mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Tambah Khalid, pihak polis akan mengambil tindakan dan menyiasat bukan sahaja individu yang bertanggungjawab menubuhkan PPS sebaliknya terhadap semua anggotanya, apatah lagi melibatkan tugas-tugas keselamatan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...