Rabu, 2 Mac 2011

17.3 juta saman tidak dijelas akan disenaraihitamkan

KUALA LUMPUR 1 Mac – Sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pesalah lalu lintas akan disenaraihitamkan bermula hari ini.

Langkah menyenaraihitamkan kesemua jumlah saman itu dibuat berikutan kegagalan pesalah trafik menyelesaikan saman mereka selepas tempoh yang ditetapkan sejak Ogos tahun lalu berakhir semalam.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof bagaimanapun berkata, daripada 49.4 juta jumlah saman yang dikeluarkan itu, sebanyak 31.9 juta saman telah dibayar oleh para pengguna.

“Bagi pengguna lalu lintas yang masih belum menjelaskan saman tertunggak bagi semua kesalahan, mereka akan disenarai hitam bermula hari ini.

“Pengguna yang enggan membayar saman tertunggak selepas tarikh semalam perlu bersedia menerima implikasi jika disenarai hitam,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.


Rabu lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009.

Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ.

Solah berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan.

Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam.

Selain itu, Abdul Aziz menambah, sepanjang tempoh pembayaran saman sebelum disenarai hitamkan yang diumumkan kerajaan Ogos lalu, sebanyak 5.5 juta saman telah dijelaskan oleh pengguna lalu lintas.

Katanya, daripada jumlah itu, 1.5 juta saman diselesaikan pada minggu terakhir tempoh tersebut iaitu minggu lalu. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...