Rabu, 2 Mac 2011

Cubaan guna lorong tikus gagal

PELABUHAN KLANG - Tindakan sekumpulan remaja merempit cuba melarikan diri melalui ‘lorong tikus’ gagal apabila mereka berjaya ditahan Pasukan Penguat kuasa Balai Trafik Klang Selatan yang mengejar mereka sejauh beberapa kilometer, awal pagi semalam. 

Pegawai Penguat kuasa Operasi Balai Trafik Klang Selatan, Cif Inspektor Zulkifli Hashim berkata, pihaknya bersama lapan anggota mengejar kumpulan terbabit hingga memasuki jalan mati. 

“Bagaimanapun ketangkasan pasukan kita, akhirnya sembilan remaja yang masing-masing berusia belasan tahun itu berjaya ditahan,” katanya. 
Katanya, sebelum itu, mereka dikatakan cuba mempamerkan aksi merbahaya di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran polis, mereka segera berpecah dan melarikan diri. 

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai kesalahan dilakukan mereka, antaranya mengubahsuai motosikal tanpa kebenaran pihak berkuasa dan juga tiada lesen memandu. 

“Oleh itu, kesemua mereka termasuk sembilan motosikal dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan untuk disita dan menjalani sesi kaunseling,” katanya. 

Menurutnya, dalam operasi itu juga, sebanyak 23 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. 

“Operasi ini dilakukan setiap malam minggu dalam usaha mencegah aktiviti rempit dalam kalangan remaja dan tumpuan kita adalah litar kegemaran mat rempit iaitu Jalan Persiaran Raja Muda Musa. 

“Walaupun berkali-kali usaha ini dilaksanakan, namun masih ramai remaja yang terlibat dalam aktiviti tidak sihat ini. 

“Justeru itu, ibu bapa dinasihatkan lebih mengambil berat perihal anak masing-masing kerana aktiviti ini bukan hanya membahayakan diri sendiri, malah juga orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian. 

Operasi yang bermula jam 11.30 malam dan berakhir jam 4 pagi turut disertai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...