Rabu, 2 Mac 2011

Pusat dialisis rugi RM10,000

SKUDAI – Pusat Dialisis milik Persatuan Kebajikan Amal Lexin di Taman Ungku Tun Aminah, di sini kerugian hampir RM10,000 selepas dipecah masuk penjenayah dalam satu kejadian dipercayai berlaku awal pagi, kelmarin. 

Setiausahanya, Tan Kim Hong berkata, penjenayah dipercayai mengumpil salah satu pintu belakang premis sebelum menyelongkar bahagian pejabat Pusat dialisis di tingkat dua dan sempat melarikan beberapa barangan berharga serta wang tunai. 

“Penjenayah berjaya memasuki ruang pejabat meskipun berkunci dan melarikan wang tunai sebanyak RM5,000 selain empat skrin komputer dan tiga unit kamera pelbagai jenama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 
Katanya, dalam kejadian itu, pencuri berkenaan tidak sempat melarikan ‘projector’ bernilai lebih RM2,000 yang diletakkan di bawah tangga, tingkat satu berhampiran pintu belakang semasa memasuki premis berkenaan. 

“Saya lega kesemua mesin dialisis kami tidak diusik penjenayah terbabit, jika ia gagal berfungsi sudah tentu memberikan kesulitan kepada pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 

Menurutnya, kakitangan pusat dialisis berkenaan hanya menyedari kejadian kecurian itu pada jam 9 pagi apabila kerani datang untuk memulakan tugas dan terkejut semua skrin komputer di ruangan pejabat hilang. 

“Jururawat di sini datang untuk memulakan tugas seawal jam 6.30 pagi dan pulang pada jam 6 petang, kemungkinan tidak menyedari premis ini dimasuki penjenayah kerana tiada barangan di ruangan rawatan yang hilang,” katanya. 

Beliau mengakui semenjak pusat dialisis berkenaan beroperasi lebih tiga tahun lalu, sudah dua kali premis itu dipecah masuk pencuri, namun kejadian kali ini melibatkan kerugian yang lebih banyak berbanding sebelumnya. 

“Berdasarkan maklumat daripada pekerja hotel berhampiran, mereka ada terdengar bunyi dipercayai ketika penjenayah berusaha mengumpil pintu kira-kira jam tiga pagi, namun tidak mencurigai apa-apa memandangkan pusat dialisis ini masih dalam proses pengubahsuaian,” katanya. 

Pekerja hotel berkenaan menyangka ada pekerja kontrak di dalam bangunan pusat dialisis itu menjalankan tugas sehingga awal pagi disebabkan kerja pengubahsuaian giat dilaksanakan. 

“Saya tidak pasti dan mengesyaki sama ada kecurian ini dirancang lebih awal memandangkan kesemua kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang tidak berfungsi sejak beberapa hari lalu,” katanya. 

Memandangkan pusat dialisis berkenaan tidak mempunyai perkhidmatan pengawal kese�lamatan menyebabkan penjenayah terbabit mudah memecah masuk dan berjaya mengambil pelbagai barangan berharga tanpa disedari. 

Susulan kejadian kecurian itu, satu laporan polis dibuat seorang wakil persatuan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), pagi semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...