Rabu, 2 Mac 2011

Pencuri getah kena berkas

RAUB – Seorang daripada tiga lelaki berusia 50-an diberkas ketika sedang asyik mengutip getah buku di sebuah ladang dekat kawasan Bukit Kancil, Jalan Gesing, Semantan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, pada jam lebih kurang 5 petang kelmarin, penyelia ladang bersama pekerjanya memberkas seorang lelaki yang melakukan jenayah curi getah dalam kawasan seliaannya. 

Menurutnya, semasa tangkapan dibuat, terdapat seguni getah buku yang siap dikutip dan suspek diserahkan kepada polis bersama barang kes untuk siasatan. 
“Tindakan dilakukan penyelia ladang dan pekerjanya ini bertepatan dengan konsep Kepolisan Komuniti (Community Policing) yang mempamerkan kerjasama masyarakat setempat dalam usaha mengekang jenayah. 

“Kita amat menghargai usaha masyarakat setempat untuk bersama-sama membanteras jenayah terutama membabitkan kecurian getah buku memandangkan nilai komoditi itu tinggi ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini.: 

Wan Mohd Samsudin berkata, beberapa langkah dilakukan polis Raub untuk mencegah kes kecurian getah di seluruh daerah termasuk mengadakan perjumpaan bersama wakil Lembaga Getah Malaysia (LGM) selain berdialog dengan pembeli getah berdaftar. 

Katanya, risalah berkaitan langkah mencegah kecurian getah juga diedarkan kepada penduduk dan premis pekebun getah sekitar daerah. 

“Kita sentiasa membuat pantauan terhadap kes seumpama ini dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit dengan pembelian atau penjualan getah curi. 

“Kes kecurian seperti ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman sehingga tujuh tahun penjara atau denda atau keduanya sekali,” kata Wan Mohd Samsudin. 

Beliau berkata, masyarakat boleh memberikan sepenuh kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan ke talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...