Khamis, 17 Mac 2011

Mayat ditemui terapung

BATU PAHAT – Penduduk di sini gempar apabila melihat satu mayat yang sudah kembung serta lengkap berpakaian t-shit berwarna merah dan berseluar panjang berwarna kelabu, terapung-apung di dalam Sungai Batu Pahat. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sebaik sahaja menerima laporan pada 10.15 pagi, semalam, pihaknya bergegas ke tempat kejadian seperti dilaporkan orang awam menjumpainya. 
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada pengenalan diri bersama mayat tersebut dan berdasarkan ciri fizikal mayat tersebut, mangsa adalah lelaki berbangsa Cina yang berumur lingkungan 45 hingga 55 tahun. 

“Polis percaya mangsa adalah warganegara Malaysia yang mungkin dipercayai terjatuh kerana tiada tanda-tanda kecederaan mahupun luka yang ditemui pada keseluruhan badan serta kepala mangsa yang mempunyai ketinggian lima kaki empat inci. 

“Pihak kita juga percaya mangsa sudah meninggal dua hingga tiga hari lalu dan punca serta lokasi sebenar mangsa terjatuh masih belum dikenal pasti. Polis akan menyiasat kes ini untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. 

Adnan berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Daerah Batu Pahat untuk dibedah siasat dan kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan ahli keluarga atau berhubung kes itu, bolehlah menghubungi pihak polis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...