Khamis, 17 Mac 2011

Penduduk bimbang kes pecah rumah meningkat

SUBANG JAYA – Kekerapan berlaku kes pecah rumah di perumahan dua tingkat USJ 1, Taman Subang Permai 2, di sini menimbulkan kebimbangan penduduk mengenai tahap keselamatan mereka. 

Difahamkan, 13 kes pecah rumah dilaporkan berlaku di beberapa jalan di USJ sejak dua bulan kebelakangan ini. 

Penduduk ketika ditemui pada majlis dialog bersama polis turut memaklumkan ada di antara mereka sudah dua atau tiga kali menjadi mangsa jenayah berkenaan. 

Lebih membimbangkan, sebuah rumah kebajikan berdekatan perumahan itu menjadi mangsa penjenayah apabila penjaga pertubuhan itu turut dicederakan. 
Rentetan kejadian itu, dalam majlis dialog dianjur Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 bersama Timbalan Ketua Polis Balai USJ 8, Inspektor Amir Hamzah penduduk menyuarakan rasa hati mereka. 

Antara perkara diadukan termasuklah sama ada polis sudah berjaya mengesan suspek melakukan kegiatan jenayah terbabit selain langkah diambil pihak berkuasa itu untuk memerangi jenayah. 

Malah kesempatan bertemu wakil Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam dialog sama, penduduk memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mempercepatkan kelulusan memasang pagar di belakang unit perumahan berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...