Ahad, 27 Februari 2011

Kenakan tindakan keras - Poster Ceti Haram

SKUDAI – Lambakan poster yang memaparkan pinjaman kredit oleh ceti haram ataupun ah long tidak pernah selesai walaupun pihak berkuasa berulang-kali menurunkan poster yang di tampal di merata tempat. 

Situasi berkenaan mengundang rasa tidak puas hati orang ramai yang menganggap ceti haram itu seperti mencabar undang-undang dan tidak takut sekiranya dikenakan tindakan untuk membuat publisiti mengenai perniagaan pinjaman kredit yang mereka lakukan. 

Seorang kakitangan Awam yang enggan dikenali menghubungi Sinar Harian baru-baru ini meluahkan rasa tidak puas hatinya mengenai senario lambakan poster ah long di merata tempat termasuk pada kemudahan awam yang disediakan kerajaan. 
“Saya rasa geram terutamanya apabila mencari jalan tertentu di kawasan perumahan, papan tanda yang disediakan tidak dapat dibaca gara-gara tindakan ah long yang menampal poster mereka bagi menarik pelanggan,” katanya. 

Menurutnya, keadaan seperti itu menyusahkan orang ramai, malah pihak berkuasa terpaksa memperuntukkan belanja yang tinggi untuk menggantikan papan tanda yang rosak, malah mereka masih tidak serik dengan melakukan perkara yang sama. 

“Saya mahu memberikan pendapat supaya ah long yang bertindak menampal poster haram itu dikenakan tindakan, mereka boleh dikesan kerana pada poster berkenaan tertera nombor telefon mereka,” katanya. 

Beliau berkata, dengan tindakan hanya menurunkan poster tidak memberikan kesan kepada mereka malah sehingga hari ini ianya masih mampu dilihat di merata tempat sehingga memberikan pemandangan yang menyakitkan mata
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...