Ahad, 27 Februari 2011

Pengusaha kolam ikan diugut

RAWANG – Pengusaha kolam ikan di Taman Desa Kuala Garing, di sini bimbang dakwaan tindakan ugutan salah seorang pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di sini. 

K Ushapawani, 50, berkata, dia terkejut mendapati banyak kertas bersaiz A4, ditampal di beberapa tempat awam sejak 18 Februari lalu, menunjukkan nombor kad pengenalannya dan dakwaan jumlah sewaan bulanan berkaitan tidak dijelaskannya. 

“Sebelum ini pun saya sudah mendapat pelbagai ugutan seperti kereta saya dihalang, dimarahi dan dilemparkan dengan kata-kata kesat dan lucah. 
“Saya tidak jelaskan bayaran kerana dia bukan pemilik tanah di kolam saya usahakan ini,” katanya ketika membuat aduan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, di sini. 

Difahamkan isu bermula apabila Ushapawani mula menyedari tanah disewanya daripada wakil JKKKP terbabit dikatakan berstatus milik Kerajaan Negeri menyebabkan dia enggan menjelaskan sewa. 

Menurutnya, biarpun membuat perjanjian iaitu untuk membayar sewa tapak dan kolam ikan, tetapi setelah menyedari tanah terbabit bukan milik wakil JKKKP itu, dia tidak lagi meneruskan bayaran. 

“Saya sudah membuat laporan polis bagi jaminan keselamatan saya dan berharap mendapat perlindungan, meskipun difahamkan kes saya ini kes sivil. 

“Saya mahu usahakan kolam ini secara sah di tanah ini terus kepada pihak kerajaan, tanpa melalui sewaan tanah dengannya yang tiada hak,” katanya. 

Terdahulu dia menunjukkan salinan pemberitahuan daripada pihak polis kepada Mahkamah Majistret berkenaan kesnya yang berkaitan dengan kesalahan tidak lazim ditangkap. 

Ushapawani telah diminta oleh polis ke mahkamah terbabit menurut Peruntukan Seksyen 108 (i) Kanun Prosedur Janayah (KPJ), untuk tindakan lanjut. 

Sebelum ini Sinar Harian pernah mengetengahkan isu ini pada Januari 2010 lalu, sejak Ushapawani didakwa oleh wakil JKKKP terlibat bahawa dia gagal menjelaskan sewa berkaitan empat bulan sebelum itu. 

Wakil JKKKP itu mendakwa dia mempunyai hak di tanah berkenaan kerana penggantian tanah oleh pemaju semasa penduduk dipindahkan dari Kampung Kuala Garing ke Taman Desa Kuala Garing. 

Menurutnya, sejak 20 tahun lalu, tanah itu telah diusahakannya di mana tiga kolam sedia ada dikekalkan dan dimajukan dengan penternakan ikan. 

“Memang dia (Usahapawani) membayar deposit dua bulan sewa, bil elektrik dan air serta bersetuju bayaran RM1,500 sebulan kepada saya. Tetapi sekarang dia mahu main politik pula. 

“Sedangkan saya melaburkan lebih RM80,000 untuk mengadakan kemudahan di kolam ini sebelum disewakan,” katanya. 
Sementara itu ADUN Rawang, Gan Pei Nei berkata, semasa semakan didapati tanah berkaitan milik syarikat Shah Alam Properties (SAP) dan ia tidak tidak pernah diluluskan kepada mana-mana pihak. 

Katanya, pihaknya juga mendapati ada permohonan tanah sijil layak menduduki sementara (TOL) daripada wakil JKKKP berkenaan, tetapi sudah lama tamat tempoh. 

“Jika dapat TOL sepatutnya syarat ditetapkan ialah tidak boleh disewa, dipajak atau dijual beli kepada pihak ketiga kerana pemohon perlu usahakan sendiri. 

“Bagaimanapun daripada maklumat Pejabat Tanah juga mendapati SAP belum bayar premium tanah. Namun kita akan buat semakan status sebenar tanah berkenaan,” katanya. 

Pei Nei tidak menolak wakil JKKKP terbabit berang apabila Ushapawani mahu mengambil alih tanah pernah diusahakannya, menyebabkannya kerugian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...