Ahad, 27 Februari 2011

Tingkat usaha cegah jenayah

RAUB – Polis Raub melaksanakan OPS Payung sebagai usaha mencegah jenayah terutama bagi kawasan tumpuan dan berisiko sekitar bandar Raub. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, OPS Payung diadakan setiap hari membabitkan beberapa kawasan dan dilakukan secara berkenderaan dari satu lokasi ke lokasi lain mengikut tempoh masa tertentu. 

Menurutnya, operasi itu adalah konsep penugasan Citizan Focused Policing yang dapat memberikan kesan psikologi positif dalam usaha mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan polis. 
“Payung adalah simbolik elemen polis sebagai pelindung masyarakat dan Mobile Beat Base yang menjadi tempat pertemuan peronda serta menampakkan kehadiran anggota polis di lokasi umum. 

“Operasi ini memberi peluang kepada anggota polis untuk mengenali masyarakat sekali gus meningkatkan fungsi perhubungan awam,” katanya ketika ditemui di sini. 

Wan Mohd Samsudin berkata, setiap anggota polis akan meronda kawasan masing-masing dengan melaksanakan ‘Feet On Street’ dan ‘Stop and Talk’ termasuk mengedar risalah pencegahan jenayah. 

Katanya, OPS Payung juga menjadikan usaha membanteras jenayah dapat dilakukan lebih pantas sekiranya berlaku dekat kawasan operasi. 

“Konsep ini lebih praktikal dan berfokus selain menampakkan kehadiran polis di lokasi kritikal dengan pengawasan serta pantauan bersistematik. 

“Setakat ia dijalankan, kadar jenayah di daerah ini dapat dikurangkan dan hubungan antara polis dengan masyarakat juga dapat dieratkan lagi,” kata Wan Mohd Samsudin. 

Beliau berkata, masyarakat setempat masih boleh mengaplikasikan talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999 untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan setempat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...