Ahad, 27 Februari 2011

Tubuh JMB segera elak jenayah

SUBANG – Penduduk Apartmen Daisy U3 digesa untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dengan segera. 

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md Noor berkata, badan pengurusan bersama JMB tersebut perlu ditubuhkan dalam masa terdekat bagi mengelakkan masalah di perumahan itu berpanjangan. 

Menurutnya, buat sementara waktu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membantu untuk menyelesaikan beberapa perkara melibatkan kemudahan awam di apartment. 

“Saya dimaklumkan pemaju terdahulu telah bankrap menyebabkan kawasan ini tidak terurus, tetapi MBSA selaku Suruhanjaya Bangunan (COB) akan bantu menyelesaikan beberapa perkara di sini termasuklah mengadakan semula lampu parkir di kawasan ini, membaikpulih dan menambah taman permainan sedia ada untuk kemudahan penduduk Daisy dan sekitarnya,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan dan dialog bersama MBSA dekat sini. 

Difahamkan, masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan meruncing sejak Oktober tahun lalu berikutan tiada sesiapa yang menguruskan kawasan perumahan itu menyebabkan kawasan berkenaan kotor. 

Selain itu, Mazalan turut mengumumkan kutipan sampah pukal akan dibuat empat kali sebulan di kawasan itu bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat. 

Sementara itu, Pengerusi Penaja Persatuan Penduduknya, Mohd Nizam Ramli berkata, jumlah tertunggak bil elektrik kini mencecah RM15,000. 

“Ketiadaan lampu parkir menyebabkan pencuri mengambil kesempatan dan menyebabkan kecurian kenderaan, aksesori seperti tayar kereta dan motosikal selain berlakunya gejala maksiat,” katanya 

Menurutnya, perumahan itu diduduki sejak 2003 itu mempunyai enam blok dengan 500 unit rumah. 

“Persatuan sudah menghantar permohonan pendaftaran kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan selepas ini segala aktiviti termasuk hal pengurusan akan dibantu persatuan penduduk sementara JMB baru ditubuhkan,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya berharap penduduk memberikan kerjasama demi memastikan kawasan perumahan itu terjaga dan selamat untuk didiami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...