Ahad, 27 Februari 2011

Ketua Polis Terengganu - lawat bekas polis

DUNGUN– “Buatlah kerja elok-elok, jaga nama baik pasukan, berbaktilah pada masyarakat dan negara selagi kita berkhidmat.” 

Itulah pesanan bekas polis, Fatimah Tambi Chik, 72, kepada Ketua Polis Negeri, Senior Asistan Komisioner Datuk Jamshah Mustapa. 

Biarpun sudah menamatkan perkhidmatannya sebagai ‘woman special contstabel’ pada awal tahun 60-an dahulu, namun darah patriotiknya tetap mengalir dalam jiwa sehingga segala kenangan semasa bersama pasukan keselamatan itu masih segar dalam ingatannya. 

Berkongsi pengalaman dengan Jamshah, Fatimah berkata, tugasnya ketika itu hanyalah melakukan kerja am seperti menaikkan bendera dan menjaga kawalan keselamatan. 

Menurut Fatimah, cabarannya sebagai anggota keselamatan ketika itu lebih kepada menangani ancaman pengganas komunis. 
Katanya, kini, walaupun sudah menamatkan perkhidmatannya, namun warga polis yang berkhidmat di balai polis berdekatan tidak pernah melupakan jasa yang dicurahkan, malah sentiasa prihatin. 

“Mereka selalu datang jenguk mak cik. Setiap kali datang, pasti ada buah tangan dibawa. 

“Hari ini mak cik rasa bertuah sebab terima kunjungan Datuk, tidak sangka sudi datang ke rumah mak cik ini,” katanya ketika menerima kunjungan Jamshah bersama rombongan konvoi motosikal sempena program Hari Kesedaran Jenayah peringkat daerah Dungun. 

Jamshah meluangkan masa kira-kira setengah jam bertukar buah fikiran selain turut menyampaikan sumbangan kepada Fatimah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...