Ahad, 27 Februari 2011

Polis Tahan Wanita Disyaki Terlibat Kes Ragut Barang Kemas Kanak-kanak

KUALA TERENGGANU, 27 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kes ragut barang kemas kanak-kanak kecil perempuan di karnival Jom Heboh sejak dua hari lepas di Dataran Syahbandar di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata, wanita berumur 39 tahun itu berasal dari Pulau Pinang.

"Pada hari pertama karnival (Jumaat) dua kes melibatkan ragut rantai dua kanak-kanak perempuan telah dilaporkan dan pada hari terakhir (semalam) dia cuba meragut rantai seorang lagi kanak-kanak perempuan.

"Bagaimanapun orang ramai berjaya memberkasnya dan menyerahkannya kepada polis," kata Zamri di sini Ahad.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sedang memburu seorang lelaki berumur 39 tahun yang disyaki telah membakar rumahnya hingga musnah di Kampung Balik Bukit, Setiu kira-kira 12.30 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata, lelaki itu bertindak demikian kerana dikatakan sering menghadapi masalah dengan isterinya.

Manoharan berkata, isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai telah membuat laporan di Balai Polis Setiu petang semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...