Gambar hiasan |
PETALING JAYA: Sebuah banglo dua tingkat milik seorang kenamaan di sini, dipecah masuk, malam semalam, dan mengakibatkannya kerugian kira-kira RM2 juta.
Mangsa yang berusia 70 tahun dan enggan dikenali itu berkata, sepucuk pistol dan 62 biji peluru juga didapati hilang dari kediamannya.
Katanya, kejadian berlaku ketika beliau dan lima penghuni lain termasuk seorang pembantu rumah keluar menghadiri satu majlis sejak jam 3 petang semalam dan hanya kembali tengah malam tadi.
Ketika tiba di rumah, didapati tingkap dapur terbuka dan selepas masuk ke dalam rumah beliau dapati tiga bilik tidur di tingkat atas diselongkar dan enam utas jam tangan berjenama, barangan kemas, koleksi syiling emas serta wang tunai yang disimpan dalam peti keselamatan hilang, katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Selain itu, beberapa gajet elektronik termasuk iPad, kamera dan komputer turut lesap, katanya.
Menurut mangsa, kejadian itu adalah yang keempat sejak beliau mendiami banglo berkenaan 31 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut. - BERNAMA