Khamis, 20 Disember 2012

Guna logo JKM kutip derma


KANGAR - Jangan terpedaya dengan taktik sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan logo Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengutip derma daripada orang ramai.

Dengan cara itu, orang ramai tidak teragak-agak untuk memberi sumbangan kerana beranggapan tindakan mereka itu mendapat kelulusan atau pengesahan JKM.

Jurucakap JKM Perlis berkata, mana-mana pihak termasuk NGO yang menggunakan logo jabatan itu tanpa kebenaran adalah dianggap menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan kepada mana-mana pihak atau NGO untuk menggunakan logo jabatan atau memberi surat sokongan untuk mengutip derma di Perlis.

Menurutnya, berdasarkan aduan orang ramai, sebuah NGO dari Johor dipercayai sedang bergiat cergas di sekitar negeri ini untuk mengutip derma dengan tujuan membiayai anak yatim dan membina bangunan.

“Sebelum ini, NGO yang sama dipercayai bergerak di sekitar Lembah Klang beberapa bulan lalu. Akibat aduan orang ramai, ibu pejabat JKM di Putrajaya sudah membuat laporan polis pada 22 Ogos lalu terhadap pertubuhan itu kerana menggunakan logo jabatan tanpa kebenaran untuk mengutip derma,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai berhati-hati terhadap kegiatan kumpulan ini untuk mengelirukan orang ramai bagi mengutip derma seolah-olah mendapat kebenaran JKM.

Jurucakap itu berkata setakat ini pihaknya belum membuat laporan polis mengenai perkara itu tetapi berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Sementara itu, berdasarkan aduan orang ramai, Sinar Harian meninjau kegiatan pengutip derma dari NGO ini yang didapati berkeliaran di kawasan tumpuan ramai, terutama pasar raya dan bank di bandar ini.

Mereka akan berdiri di kaki lima dan menyapa orang ramai yang lalu di situ untuk meminta sumbangan dengan cara menjual kalendar dan barangan lain.

Mengikut risalah yang diedarkan, kutipan derma akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan anak-anak yatim dan pembinaan bangunan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...