Khamis, 20 Disember 2012

Minta polis siasat empat laporan dibuat mangsa


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam meminta kerjasama polis menyiasat empat laporan polis pernah dibuat bekas pembantu peribadinya, K S Natchymuthu, 53, yang dibunuh selepas dihentak dengan penyodok tanah dalam kejadian di Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, mangsa pernah mengadu kepadanya bulan lalu dia pernah diugut sekumpulan lelaki yang datang ke rumah dan menetak pintu jeriji rumahnya menggunakan parang.


Selain itu, motosikal mangsa juga pernah dibakar dipercayai dilakukan beberapa penduduk pangsapuri itu yang tidak berpuas hati dengannya yang juga pengerusi persatuan penduduk di situ. “Mangsa bekerja dengan saya sejak dua tahun lalu sebagai pembantu peribadi merangkap pemandu dan seorang yang rajin bekerja. Mangsa meninggalkan seorang balu dan empat anak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.



Ahli Parlimen itu turut mengiringi keluarga mangsa di upacara pembakaran mayat mendiang di Krematorium Simpang Lima, Klang, semalam.


Manikavasagam berkata, beliau turut bersimpati atas apa berlaku dan akan mengatur pertemuan dengan keluarga mangsa bagi menyampaikan sumbangan.



Katanya, pertemuan dijangka akan diadakan minggu depan itu juga untuk membincangkan mengenai tindakan seterusnya yang bakal diambil berhubung kejadian.



“Saya harap polis dapat menjalankan siasatan terperinci terhadap kes ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek,” katanya.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Natchymuthu dihentak menggunakan penyodok tanah beberapa kali di bahagian kepala dan belakang badan hingga mati.



Difahamkan, suspek berusia 43 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di pangsapuri berkenaan tidak berpuas hati dan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum kejadian.


Menurut saksi, sebelum kejadian mangsa dikatakan memaki hamun suspek hingga menaikkan kemarahan suspek lalu memukulnya.



Mangsa yang parah sempat melarikan diri dengan menaiki motosikal, namun rebah dan meninggal dunia berhampiran pondok pengawal beberapa meter dari lokasi kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, ketika dihubungi berkata, kejadian terbabit tiada kaitan dengan masalah politik dan kertas siasatan sudah pun lengkap.



“Kami sudah mengambil keterangan suspek yang kini direman lima hari bermula hari ini (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...