PUCHONG – Belum sempat menghabiskan teh tarik yang dipesannya, seorang tukang tarik kenderaan cedera ditembak dengan jarak dekat di bahagian belakang kepala di sebuah restoran di Persiaran Puchong Permai 2, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dikenali sebagai M Subramaniam, 29, dikatakan duduk minum dengan bapa saudara dan abang iparnya di sebuah meja dalam restoran berkenaan.
Tidak sampai beberapa minit selepas mangsa duduk di kedai yang sering dikunjunginya itu, seorang lelaki kemudian dikatakan terus meluru ke arahnya mengacu pistol dan terus melepaskan satu das tembakan.
Melihat keadaan mencemaskan itu, beliau berkata, orang ramai yang kebetulan berada di dalam restoran menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan kejadian.
“Selepas menembak mangsa, suspek berbadan gempal yang memakai topi keledar berpenutup penuh itu terus melarikan diri dengan sebuah motosikal dipercayai ditungggangi rakannya.
“Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai kelongsong peluru, anak peluru dan senjata yang digunakan suspek. Semakan juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di restoran berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa masih tidak sedarkan diri dan masih dirawat di Wad Kritikal Jabatan Kecemasan Hospital Serdang.
Beliau berkata, semakan dibuat mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah.
"Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku serta mengesan suspek yang terlibat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat digesa menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 03-56332222," katanya.
Sementara itu, saksi kejadian yang berniaga kurang 100 meter dari lokasi itu berkata, dia dikejutkan dengan bunyi letupan seperti mercun di dalam restoran terbabit.
Katanya, apabila menoleh ke arah restoran, dia mendapati seorang lelaki yang sebelum itu duduk di atas kerusi tumbang ke lantai dengan keadaan kepala berlumuran darah.
“Individu yang menembaknya kemudian berjalan dengan selamba ke arah sebuah motosikal dan terus melarikan diri,” katanya.