Khamis, 20 Disember 2012

Kota Bharu seperti Pekan Kowboy ???


Pekerja Bangladesh mati ditembak di kepala

KOTA BHARU 18 Dis. - Seorang lelaki Bangladesh maut akibat terkena tembakan di kepala ketika keluar membeli makanan di Lorong Tok Gading, Jalan Bayam di sini semalam.

Md. Shah Jalal, 31, yang telah bekerja di negara ini sejak 2010 ditembak dari arah belakang ketika menaiki motosikal jenis Honda Wave milik majikannya kira-kira pukul 7.40 malam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, tembakan itu mengenai belakang kepala mangsa dan menembusi bahagian atas kening sebelah kiri.

"Beberapa saksi di tempat kejadian ketika ditemui memberitahu mereka terdengar dua das bunyi tembakan.

"Seorang lagi saksi menyatakan ada melihat sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah meninggalkan tempat kejadian dipercayai suspek yang menembak lelaki itu," katanya pada sidang akhbar beberapa jam selepas kejadian.

Menurut Mazlan, polis menerima panggilan daripada orang awam dan setibanya di tempat kejadian, mangsa terbaring di kaki lima jalan di Jalan Bayam menuju lampu isyarat Jalan Long Yunus.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang mendapatkan maklumat melalui telefon bimbit milik mangsa.

Sementara itu menurut beliau, beberapa jam selepas kejadian, polis menahan seorang lelaki bersama isterinya bagi membantu siasatan.

Katanya, polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk mereman lelaki itu selama tujuh hari bermula hari ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...