ALOR SETAR: Lapan kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) pada Sabtu membuat laporan polis berhubung dakwaan pecah amanah di kolej universiti milik kerajaan Kedah itu.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini pukul 9 pagi ini.
Laporan itu dibuat atas kekesalan dan perasaan tidak puas hati kakitangan Kuin kerana berlakunya pecah amanah dalam mengurus kewangan Kuin dan kakitangannya.
Mereka mendakwa Kuin tidak membuat pembayaran wang pekerja kepada agensi pihak ketiga seperti bank, insurans dan institusi kewangan yang lain sedangkan wang pekerja telah diambil dan potongan dilakukan dalam slip gaji mereka.