Ahad, 5 Mei 2013

Rompaka Kedai Runcit

SEPASUKAN anggota polis menjalankan siasatan di sebuah kedai runcit yang cuba dirompak oleh dua lelaki di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir, Melaka semalam.

MELAKA - Seorang tauke kedai runcit cedera di lengan kanan selepas terkena dua das tembakan ketika cuba menghalang premis itu daripada dirompak oleh dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dalam kejadian di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir di sini semalam.

Kejadian pada pukul 6.45 pagi itu berlaku ketika Lee Khong Fook, 43, hendak memulakan perniagaan sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi keledar. Seorang lagi rakan suspek menunggu di luar premis di atas sebuah motosikal.

Mengimbau semula kejadian itu, isteri mangsa, Yap Siew Hui, 32, berkata, sebelum kejadian dia berada di tingkat atas rumah kedai dua tingkat tersebut manakala suaminya yang berada di tingkat bawah sedang bersiap-siap untuk memulakan perniagaan.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan lalu bergegas ke bawah dan mendapati tangan kanan suami telah cedera ditembak manakala perompak melarikan diri.

"Saya kemudian menghubungi polis yang tiba tidak lama selepas itu," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Kebas barang kemas dalam tempoh 3 minit

EMPAT penjenayah mengambil masa hanya tiga minit untuk merompak sebuah kedai emas dan melarikan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM100,000 di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA - Empat perompak bersenjatakan tukul, kapak dan pistol berjoli sakan selepas melarikan sejumlah barangan kemas bernilai lebih RM100,000 dalam tempoh tiga minit dari sebuah kedai emas di Jalan Othman di sini semalam.

Kejadian pada pukul 10 pagi itu berlaku apabila perompak melepaskan tembakan amaran di dalam premis yang ketika itu mempunyai seorang pelanggan dan enam pekerja sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan tukul dan kapak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati empat lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh tersebut menaiki dua buah motosikal.

"Polis akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup. Nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan," katanya yang memberitahu penjenayah mengambil masa selama tiga minit untuk melakukan rompakan.

Gempar bom ditemui di 3 lokasi

Gempar bom ditemui di 3 lokasi
Anggota UPB melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan bom buatan sendiri di Jalan SK7/12, semalam.

SERI KEMBANGAN – Penduduk dan pengguna jalan raya di Seri Kembangan semalam gempar dengan penemuan bungkusan tertulis ‘Awas Bom’ di sebuah kedai makan di Jalan SK7/12, pagi semalam.

Difahamkan, bungkusan berkenaan ditemui pekerja kedai itu sebelum perkara terbabit dimaklumkan kepada majikannya.

Pekerja berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Meksu, 23, berkata, dia menemui bungkusan itu di atas gerai yang terletak di luar kedai ketika hendak memulakan operasi perniagaan kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada majikannya sebelum pemilik kedai itu mengalihkan bungkusan dan meletakkannya di luar premis kedai.

Suri rumah kena peluru sesat

Suri rumah kena peluru sesat
Harliah cedera di belakang badan akibat terkena peluru
penabur yang dilepaskan pemburu

ALOR GAJAH - Seorang suri rumah nyaris maut selepas terkena peluru penabur  yang dilepaskan sekumpulan pemburu di jalan Bukit Tinggi, Tanjung Bidara, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Harliah Bakar, 43,  sedang leka menjahit dalam bilik bahagian tepi rumah sebelum tersentak sebaik terasa ada objek tertusuk di bahagian belakang bahu sebelah kiri badannya.

Difahamkan, peluru penabur berkenaan terkena pada badan mangsa selepas tiga lelaki yang sedang memburu babi hutan melepaskan tembakan dan terkena pada cermin dan dinding bilik tempat mangsa sedang menjahit pakaian.

Polis bendung cubaan pergerakan demonstrasi ala 'Arab Spring' esok


KUALA LUMPUR - Polis telah mengambil langkah membendung cubaan untuk menggerakkan demonstrasi jalanan umpama 'Arab Spring' yang dirancang pihak tertentu bagi mengganggu kelancaran perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 esok.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, antara lain polis merampas semua bendera kecil yang diletakkan di lokasi tertentu di ibu negara sebagai penunjuk untuk pihak yang berkenaan berhimpun.

Rakyat Amerika ditemui mati, dipercayai dibunuh

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki rakyat Amerika Syarikat ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Sri Ukay di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat David James Ginter, 62, ditemui di tingkat atas oleh jiran mangsa dalam keadaan terbaring dengan tangan dan kaki diikat ke belakang serta lehernya dijerut dengan tali kabel pengecas telefon bimbit.
Beliau berkata, difahamkan mangsa menetap di taman itu sejak empat tahun lepas dan bekerja di sebuah syarikat konsultan, selain menjadi paderi.

Hubungi polis jika takut untuk keluar mengundi


KUALA TERENGGANU - Rakyat di negeri ini yang berasakan dirinya diancam untuk keluar mengundi esok diminta menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
Jurucakap media Pilihan Raya Umum ke-13 kontinjen polis Terengganu Superitendan Koh Ah Tiam juga berkata, polis telah memperhebatkan kawalan di kawasan yang dianggap panas bagi mengekang insiden tidak diingini.
Orang ramai tidak perlu berasa bimbang untuk menunaikan tanggungjawab mereka esok kerana polis sentiasa memantau, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, polis Terengganu juga mengingatkan pihak berkenaan agar tidak melakukan kekecohan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
Sebanyak 4,000 pegawai dan anggota polis kontinjen Terengganu akan bertugas mengawal keselamatan sepanjang hari esok, katanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...