Tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa lokasi utama tiang kabel di jalan masuk ke Kampung Baru Kuala Abang telah menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.
Setiausaha JKKK Kuala Abang, Bidi Abdullah berkata, kes itu bukan kali pertama, sebaliknya sudah tujuh kali berlaku sejak tahun lalu.
Menurutnya, kejadian itu disyaki dilakukan penjenayah berpengalaman memandangkan kaedah digunakan untuk memotong kabel tersebut hampir sama.
“Dulu ada anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang sentiasa buat rondaan, ia boleh mencegah kejadian seperti ini. Tapi sekarang laluan ini agak sunyi, SRS pun kurang berfungsi. Ini memudahkan penjenayah untuk mencuri kabel tersebut," katanya.
Katanya, kegiatan itu dipercayai dilakukan lebih daripada seorang kerana jarak tiangnya mencecah hampir lima meter tinggi, memerlukan peralatan tambahan seperti tangga dan sokongan tenaga untuk memotong kabel.
Katanya, kadangkala penjenayah berjaya melarikan sehingga 100 meter kabel dan perbuatan itu perlu dilakukan mereka yang mahir serta berpengalaman dalam selok-belok memotong kabel.
“Masalahnya setiap kali kabel hilang, kami akan mengalami gangguan komunikasi terutama talian internet. Setiap bulan kami bayar bil, tapi tak dapat gunakan talian kerana masalah ini. Soalnya, sampai bila masalah ini perlu berlarutan?" katanya.