Jumaat, 22 Mac 2013

PGM LIGAT RONDA KAMPUNG PESISIR PANTAI


Lahad Datu, 21 Mac - Usaha memastikan perkampungan yang menjadi sasaran penceroboh militan kekal selamat tidak hanya terbatas kepada operasi membersih dan menggeledah di daratan. 

Sejak insiden pencerobohan oleh kira-kira 200 militan bersenjata dari selatan Filipina pada 12 Feb lepas yang menggemparkan seluruh negara, Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan pengganas mula menyaksikan kehadiran ribuan anggota keselamatan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Di sebalik tugas hakiki menggempur, menggeledah dan membersihkan kampung-kampung yang 'disinggahi' kumpulan militan oleh PDRM dan ATM, Unit Tempur Marin juga tidak ketinggalan melaksanakan operasi serupa, dengan menjadikan lokasi di lautan sebagai tumpuan. 

AZZIMUDIE KIRAM TINGGALKAN SABAH SEJAK 11 MAC LEPAS


Lahad Datu, 21 Mac - Ketua pengganas Sulu yang menceroboh Sabah sejak 12 Feb lepas, Azzimudie atau Agbimuddin Kiram telah meninggalkan negara ini sejak 11 Mac dan kini bersembunyi di pulau-pulau kecil di selatan Filipina. 

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata perkara itu disahkan hasil risikan pasukan keselamatan yang antara lain mendapati Azzimudie meninggalkan pengikutnya di Sabah lalu menyembunyikan diri dan bergerak dari satu pulau ke pulau lain di selatan Filipina. 

"Azzimudie bertindak sedemikian dipercayai kerana tidak mahu kedudukannya diketahui Bangsamoro dan kerana takut ditangkap pihak berkuasa Filipina," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini. 

ORANG RAMAI DIANGGAP 'PERISIK' TERBAIK


Kuala Lumpur, 21 Mac - Orang ramai dianggap sebagai 'perisik' terbaik kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menyalurkan maklumat bagi menyelesaikan kes membakar kenderaan yang tertakluk di bawah kesalahan melakukan khianat menggunakan api. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata walaupun PDRM mempunyai pasukan khasnya sendiri untuk menyiasat kes itu, namun laporan orang ramai yang tampil secara sukarela memberi maklumat menjadi kunci utama kejayaan polis. 

"Kita memang ada pasukan sendiri yang menjalankan siasatan, kaji modus operandi dan perilaku mereka yang terlibat dalam kejadian ini. 

"Tapi ia lebih berkesan sekiranya orang ramai, terutama jiran yang terlihat kejadian itu di kediaman mereka, tampil menghulurkan maklumat," katanya kepada Bernama. 

PENGGANAS AMAL ILMU HITAM, MAYAT CEPAT REPUT


Lahad Datu, 21 Mac - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan ilmu kebatinan yang berunsur syirik. 

Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan. 

Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.

"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...