Selasa, 1 September 2020

KEGIATAN AH LONG @ CETI HARAM PERLU DIBENTERAS HINGGA KE AKAR UMBI

 


JOHOR BAHRU - Polis sudah membuka 398 kertas siasatan melibatkan kes ah long atau ceti haram yang bertindak ganas terhadap peminjam di negeri ini dari Januari hingga bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, 118 disiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor manakala 280 lagi disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor.

"Sebelum tangkapan dari Januari hingga Ogos lalu, lapan individu terlibat kegiatan ah long telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) yang dikenakan tahanan dan pengawasan.

"Kebanyakan mereka yang meminjam ah long adalah mereka yang kuat berjudi selain mahu membuka perniagaan tetapi perniagaan tidak berjaya. Akibat daripada perbuatan peminjam ini, ahli keluarga mereka mendapat kesannya.

"Kita menerima banyak aduan orang awam, rumah disimbah cat merah dan dibaling cocktail kerana ada ahli keluarga mereka meminjam dengan ah long tetapi gagal membayarnya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Terdahulu, Ayob menyempurnakan Majlis Penyerahan 35 Kereta Peronda Polis (MPV) jenis Honda Civic 1.8 S di Padang Kawad IPK Johor di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad

Ayob berkata, pihaknya percaya banyak kes membabitkan ceti haram tersebut tetapi tidak dilaporkan kepada polis atas sebab tertentu.

Katanya, polis Johor masih meneruskan siasatan dan operasi untuk MENJEJAKI DALANG DI SEBALIK KUMPULAN ATAU SINDIKET AH LONG SECARA BERSEPADU di antara pihak JSJ dan JSJK negeri.

Ditanya adakah Johor menjadi transit utama kegiatan ah long susulan penangkapan 12 suspek pada 15 Ogos lalu yang mempunyai rangkaian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, beliau berkata, SIASATAN RAPI SEDANG DIJALANKAN.

Menurutnya, IPK Johor juga akan berhubung dengan polis Singapura berhubung dakwaan ah long di Johor bekerjasama dengan ah long di republik tersebut dalam mencari dan memerangkap mangsanya.

"Polis Johor menasihatkan orang awam supaya tidak membuat pinjaman atau berurusan dengan ah long atau pemberi pinjam wang tanpa lesen sebaliknya menggunakan perkhidmatan institusi perbankan yang berlesen dan berdaftar," katanya.

Artikel Penuh: KLIK DISINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...