IPOH: Sepasang kekasih ditahan kerana disyaki menipu individu yang berminat menjadi anggota Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000.
Lelaki berumur 28 tahun ditahan di Tanjung Rambutan di sini, pada 29 April lalu, manakala pasangannya berusia 23 tahun adalah suspek utama kes itu ditahan pada pukul 7 malam Isnin di Jinjang, Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintendan Maszely Minhad berkata, mereka terbabit dalam 10 kes penipuan seumpama itu di negeri berkenaan, manakala satu lagi kes di Nibong Tebal, Pulau Pinang sejak April lalu.
"Lelaki itu ditahan di sebuah rumah kerana dipercayai bersubahat dengan teman wanitanya, namun ketika serbuan wanita itu berjaya melarikan diri," katanya di sini, Selasa.