Sabtu, 21 Jun 2014

Polis Tahan Suspek Militan, Rampas Riafel Dan Peluru Hidup


KUALA LUMPUR – Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman menahan seorang rakyat tempat di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak kerana disyaki terbabit dengan kegiatan militan.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata dalam operasi khas itu, polis turut merampas sepucuk raifel buatan sendiri dengan 48 butir peluru hidup dari kawasan itu.
Beliau berkata suspek yang berumur 25 tahun ditahan susulan Operasi Khas Counter Terrorism terhadap militan yang dilancarkan sejak 28 April lepas.
Raifel itu disyaki digunakan oleh kumpulan militan terbabit semasa menjalani latihan menembak di Gunung Arang Para, Kampung Nyior Ketior, Kuala Kangsar di Perak pada Disember tahun lepas, katanya dalam kenyataan.
Menurutnya individu itu ditahan kerana disyaki terlibat melakukan keganasan mengikut Kanun Keseksaan.
“Suspek akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya.
“Setakat ini, jumlah keseluruhan anasir militan yang ditangkap adalah seramai 16 orang di seluruh negara,”

PDRM Sah Juara Liga Perdana


KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan gelaran sebagai juara Liga Perdana musim 2014 selepas mengalahkan Negeri Sembilan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat malam.

Mengumpul 52 mata daripada 16 kemenangan, skuad Sang Saka Biru mengatasi pencabar terdekat, Felda United FC dengan kelebihan lima mata, sekali gus tidak mengubah kedudukan skuad 'The Fighters' pada perlawanan terakhir liga Selasa depan.

PDRM akan menamatkan kempen musim ini dengan menentang Kedah manakala FELDA United akan melengkapkan jadual liga dengan bertemu Perlis.

Dalam pada itu, Perlis tersingkir ke Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim depan bersama pendatang baharu liga, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) selepas masing-masing menghuni tangga ke-11 dan 12.

Pada pertemuan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, kedua-dua pasukan tersebut seri 1-1.

Polis Tahan Dua Lelaki Berhubung Tragedi Bot Karam


SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Polis Selangor Jumaat menahan dua lelaki dipercayai ejen dan tekong darat berhubung kejadian bot karam di perairan Kuala Sungai Air Hitam, Pulau Carey Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua suspek diberkas di sebuah premis di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang dekat sini, kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Beliau berkata suspek berumur 44 dan 54 tahun itu adalah warga Indonesia dan disyaki menguruskan perjalanan 97 penumpang warga republik berkenaan yang mahu pulang ke negara asal dengan menaiki bot ke Tanjung Balai.

"Telefon bimbit milik kedua-dua suspek dirampas kerana disyaki digunakan bagi kegiatan menguruskan penumpang tersebut namun tiada wang tunai dijumpai semasa serbuan dan polis percaya mereka mungkin telah menyorokkan wang tersebut.

Dua pelajar tingkatan lima ditahan curi motosikal

Gambar hiasan
KUANTAN - Dua pelajar tingkatan lima yang dipercayai mencuri sebuah motosikal jenis Honda yang dilaporkan hilang di tempat letak kenderaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gali, Raub ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Shamsudin Wan Osman berkata, bertindak atas risikan dan maklumat orang awam polis menahan seorang daripada pelajar berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor di Dong, sebelum bertindak menahan rakan subahatnya.
"Hasil siasatan mendapati, pelajar itu mengaku mencuri motosikal tersebut bersama seorang rakannya serta telah meleraikan komponen motosikal itu untuk dijual ke sebuah bengkel milik rakan mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, suspek kedua ditahan di rumah keluarganya di Dong dan polis menemui komponen motosikal yang telah dileraikan di dalam semak dekat Kampung Pintu Padang.
Kedua-dua pelajar berkenaan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...