Khamis, 12 Disember 2013

Enam Beranak Cemas Disamun Dengan Parang

MARAN: Enam beranak berdepan cetik mencemaskan dalam kejadian empat lelaki bersenjatakan parang menyamun kediaman mereka di Kampung Ulu Luit di sini awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sendiri kerugian wang tunai RM500, pelbagai jenis barang kemas selain kehilangan sebuah kereta Proton Wira yang dilarikan suspek.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Sulaiman A Hamid berkata empat suspek yang dipercayai warga asing itu mengumpil pintu belakang rumah mangsa sebelum mengejutkan semua mangsa yang sedang tidur di dalam bilik dan mengumpulkan mangsa di ruang tamu.
"Mangsa bersama isteri dan empat anaknya diikat manakala mulut mereka ditutup dengan pita pelekat. Suspek kemudian menggeledah rumah mangsa," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Lelaki Ditemui Mati Dengan Kecederaan Di Kepala

Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang lelaki tempatan ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala di rumahnya di Pangsapuri Sri Angkasa, Jalan Kanchung Darat 28/7, Seksyen 28 di sini Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata mangsa berumur lewat 20-an itu dipercayai dibunuh dan mati lebih daripada tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang mengembung.
"Polis menerima laporan daripada jiran mangsa kira-kira 1 tengah hari Khamis berikutan tidak tahan bau busuk dari rumah berkenaan. Mangsa ditemui terbaring dengan hanya berseluar di dapur rumah itu.
"Siasatan awal mendapati mangsa disyaki mati akibat kecederaan di bahagian belakang kepalanya. Keadaan rumah didapati berselerak namun tiada kesan pecah masuk semasa pemeriksaan dilakukan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa tinggal bersama tiga wanita dipercayai kakak, ibu dan seorang lagi yang tidak dapat dikenal pasti sama ada isteri atau teman wanitanya, namun ketiga-tiganya tiada di rumah ketika mayat dijumpai.

Mak Engku menjadi wanita pertama di negara ini ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Jenayah 1959

Mak Engku ada 16 rekod jenayah
KUALA SELANGOR - Seorang warga emas menyamar dengan gelaran Mak Engku menjadi wanita pertama di negara ini ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, pagi semalam.

Dia yang berusia 60 tahun itu difahamkan, ditahan setelah terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki, Syairul Helmi Azhar, 24, gara-gara cicak tokek yang didakwa bernilai jutaan ringgit.
Suspek yang tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Selangor menaiki kereta polis kira-kira jam 10.50 pagi kelihatan tenang diiringi pegawai polis.

Perintah reman 14 hari dikeluarkan Majistret Kuala Selangor, Shah Wira Abdul Halim bermula semalam dan suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor sehingga 24 Disember ini bagi dilakukan siasatan lanjut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...