BESUT - Sepasang suami isteri warga emas kerugian kira-kira RM16,000
selepas barang kemas milik mereka dicuri dalam kejadian pecah rumah di Kampung
Seberang Limbongan dekat Kampung Raja, pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 hingga 6.15 pagi ketika mangsa,
Zakaria Samad, 74, dan isteri, Rokiah Said, 69, pergi menunaikan solat Subuh di
Masjid Kampung Pengkalan Nyireh, kira-kira 500 meter dari rumah mereka.
Rokiah berkata, dia dan suami menyedari rumah mereka dimasuki pencuri
selepas pulang dari masjid apabila mendapati pintu rumah tidak berkunci selain
terdapat kesan diumpil.