Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan anggota Jabatan Imigresen
dan Kastam Diraja Malaysia terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah
antarabangsa menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sumber polis berkata mereka antara lain berperanan sebagai dalang dengan
membenarkan keldai dadah warga asing memasuki negara tanpa pemeriksaan rapi di
bahagian masing-masing.
"Bukan sahaja bagasi mengandungi dadah dapat dibolosi malah
individu yang membawa dadah itu juga terlepas daripada pemeriksaan pihak
berkenaan.
"Jadi, kita lihat ini adalah satu rangkaian sindiket dadah yang
besar menggunakan agensi penguat kuasa untuk meloloskan dadah ke dalam
negara," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas perkembangan kes penangkapan 11 lelaki termasuk
empat pegawai kanan dan pegawai penguat kuasa Kastam dalam beberapa serbuan di
ibu negara dan Negeri Sembilan pada 14 dan 16 Dis lepas, yang melibatkan
rampasan dadah bernilai RM14 juta.
Dalam rampasan itu, polis turut menemui sepucuk pistol jenis CZ bersama
magazin serta 30 butir peluru.
Menurut sumber itu pistol itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes
pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri)
Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada 26 April lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama
bagaimanapun berkata pihaknya belum dapat memastikan kaitan senjata api itu
dengan pembunuhan itu.
"Jangan spekulasi perkara ini kerana ia masih dalam siasatan,"
katanya.
Difahamkan senjata api itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian balistik. - Bernama
Difahamkan senjata api itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian balistik. - Bernama