Kuala Lumpur, 1 Mei - Polis menyiasat perbuatan seorang wakil kepada calon parti yang mengunci sembilan peti undi di sebuah pusat pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata kejadian berlaku pada pukul 7.10 malam dan selepas siasatan awal, individu itu dibebaskan malam tadi dengan ikat jamin.
"Individu itu telah bertindak mengunci sembilan peti undi tanpa kebenaran daripada Penolong Pegawai Urusetia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di pusat berkenaan," katanya pada taklimat media di Bukit Aman, hari ini.